Bayi melecur tertumpah teh o panas

Tular kejadian yang menimpa Afeeya mendapat simpati orang ramai.
Tular kejadian yang menimpa Afeeya mendapat simpati orang ramai.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Seorang bayi perempuan berusia 15 bulan melecur di bahagian badan, muka, bahu, lengan dan leher selepas air teh o panas tertumpah dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 2 petang di rumahnya di Kempas, di sini, semalam.

Mangsa Nur Afeeya Humaira (Afeeya) terkena air panas yang dibuat ibunya, Nor Hayati Yazid, 23, untuk bapanya, Mohd Azarul Alaudin, 29 yang ketika itu baharu pulang dari kerja.

Menurut Nor Hayati, selepas menuang air panas dan teh dalam gelas, dia berpaling seketika mengambil gula dan tidak sampai beberapa saat, anaknya menjerit kerana teh o panas itu telah tertumpah ke badannya.

“Selalunya Afeeya tidak dapat mencapai barang atas meja yang lebih tinggi daripadanya. Gelas itu juga saya letak ke arah lebih jauh dari hujung meja.

“Saya tidak perasan sama ada dia panjat atau dia terlanggar meja sehingga menyebabkan gelas itu jatuh,” ujar Nor Hayati, hari ini.

Menurut Nor Hayati lagi, ketika kejadian, suaminya terlelap kerana penat selepas pulang dari kerja dan mahu berehat sementara dia menyediakan air panas di dapur.

“Afeeya terus menangis dan kemudian saya membuka pakaiannya dan melihat kulitnya telah mulai mengelupas sebelum bergegas membawanya ke Hospital Sultan Ismail untuk mendapatkan rawatan.

“Namun, disebabkan ketiadaan pakar di HSI, Afeeya dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah. Petang semalam doktor telah memeriksanya dan kesan lecurnya telah dicuci dan dibalut selain turut diberi ubat tahan sakit.

Artikel Berkaitan:

“Doktor juga hairan, air panas yang tumpah itu hanya segelas, tetapi boleh mengakibatkan anak saya melecur kira-kira 13 peratus,” katanya yang memberitahu bahagian punggung ke bawah Afeeya bagaimanapun terselamat.

Dia memberitahu, hingga kini, anaknya itu kerap menangis dan merengek terutamanya apabila ubat tahan sakit yang diberi habis.

“Buat masa ini, doktor belum membenarkan Afeeya dibawa pulang kerana dia masih lagi dipantau. Saya berharap anak saya akan segera sembuh,” katanya.

Terdahulu, kejadian yang menimpa kanak-kanak itu turut tular di Facebook yang memohon orang ramai mendoakan kesihatan Afeeya supaya kembali pulih.