'Tempoh 14 hari terlalu singkat'

Mazlan
Mazlan
A
A
A

SHAH ALAM - Pengurusan tertinggi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) diminta agar menilai kembali tempoh 14 hari yang diberikan kepada peneroka untuk menyemak terma perjanjian dan penghapusan hutang mereka.

Bekas Presiden Persatuan Anak Felda Kebangsaan (Anak), Datuk Mazlan Aliman berkata, tempoh yang diberikan itu terlalu singkat untuk peneroka berbuat demikian dengan pelbagai kekangan termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

"Tempoh 14 hari yang terlalu singkat, apatah lagi di waktu Covid-19, waris atau generasi baharu Felda berhadapan dengan kekangan rentas negeri atau daerah untuk berbincang dengan bapa atau adik-beradik.

"Justeru, saya merayu kepada pengurusan tertinggi Felda agar tempoh 14 hari yang diberikan hendaklah dilanjutkan kepada suatu tempoh yang lebih munasabah," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau, tempoh yang lebih panjang juga membolehkan badan bukan kerajaan (NGO) Felda turut dilibatkan bagi membolehkan pindaan terhadap terma perjanjian dapat dibuat.

"Saya telah mendapatkan kerjasama daripada pengamal undang-undang yang biasa terlibat dengan kes peneroka untuk membuat semakan. Input awal akan diperoleh tidak lama lagi," katanya.

Dalam pada itu, Mazlan turut berharap agar keharmonian di kalangan warga Felda sama ada peneroka, generasi baharu dan pengurusan agensi itu kekal padu.

Pada Rabu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion secara bersyarat.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, persetujuan itu mengambil kira isu hutang peneroka yang disifatkan harus diperbetulkan terlebih dahulu untuk memudahcarakan proses penjanaan semula atau restart Felda.