100 kakitangan JPNP musnah kebun durian

Antara kawasan kebun durian haram di kawasan HSK Batu Talam, Raub yang dimusnahkan setakat ini.
Antara kawasan kebun durian haram di kawasan HSK Batu Talam, Raub yang dimusnahkan setakat ini.
A
A
A

RAUB - [DIKEMAS KINI] Kira-kira 100 kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan anggota Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) melaksanakan operasi memusnahkan lebih 85 hektar kawasan kebun durian musang king di Hutan Simpan Batu Talam sehingga Jumaat.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Nor Azirim Ahmad berkata, hanya sebahagian kecil pokok yang ditanam secara haram itu belum dimusnahkan dan kerja-kerja dijangka selesai sepenuhnya minggu depan.

"Aktiviti menebang sebenarnya dilakukan hanya dalam lima hari sahaja ekoran beberapa halangan dihadapi. Mereka menggunakan mesin gergaji dalam operasi itu," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Menurutnya, tindakan provokasi daripada pekebun termasuk merosakkan jambatan menyebabkan kerja menebang yang sepatutnya dilakukan sejak awal operasi terganggu.

"Operasi mula berjalan lancar terutama selepas kehadiran anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Selasa bagi mengawal kawasan HSK Batu Talam termasuk sekatan jalan raya (SJR) di laluan masuk ke hutan simpan tersebut," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Siasatan SPRM sudah lengkap 80 peratus

Operasi di Hutan Simpan Batu Talam tenang, terkawal

Tambah beliau, faktor cuaca iaitu hujan pada sebelah petang selain angin kencang turut menjejaskan aktiviti menebang.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerja penanaman pokok hutan daripada beberapa spesies yang dikenalpasti akan segera dilakukan selepas aktiviti menebang selesai sepenuhnya.

Menurutnya, Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat, Rotan Tunggal, di sini, bertanggungjawab menyediakan bekalan anak pokok bagi program menanam membabitkan beberapa fasa disertai kakitangan beberapa daerah.