Persatuan Anak Raub tolak Sin Woon sebagai pengerusi jawatankuasa khas

Setiausaha Agung PAR, Ahmad Ashraf menyatakan badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan menolak sekeras-kerasnya keputusan dibuat MCA. - Foto fail Sinar Harian
Setiausaha Agung PAR, Ahmad Ashraf menyatakan badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan menolak sekeras-kerasnya keputusan dibuat MCA. - Foto fail Sinar Harian
A
A
A

KUANTAN - Keputusan MCA melantik Setiausaha Agung parti berkenaan, Datuk Choon Sin Woon sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Isu Tanah Haram Musang King tidak mendapat restu Persatuan Anak Raub (PAR).

Setiausaha Agung PAR, Ahmad Ashraf Abd Aziz berkata, badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan menolak sekeras-kerasnya keputusan dibuat MCA kerana menganggap Sin Woon bukanlah individu yang boleh dipercayai.

"Beliau (Sin Woon) juga gagal mengemukakan sebarang perancangan atau pelan tindakan selepas MCA mewujudkan jawatankuasa khas itu sejak Ogos tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN:Isu pekebun haram: Kenapa baru sekarang ditebang?

Ahmad Ashraf mendakwa, Sin Woon juga menunjukkan kesungguhan seolah-olah begitu berminat membantu pekebun haram ini bagi mendapatkan sokongan penuh untuk memastikan Setiausaha Agung MCA itu mendapat sokongan jika dipilih sebagai calon di kerusi Parlimen Raub pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Justeru, saya mewakili PAR berpendapat pemilihan dan lantikan Sin Woon tidak mendatangkan apa-apa hasil yang positif, malah merasakan ia hanya satu gerakan bermotif politik dan mempunyai niat lain.

"Kami dengan penuh rasa tanggungjawab akan terus merungkai gerakan bawah tanah yang dikaitkan dengan kartel musang king, Sin Woon (MCA) dan Ahli Parlimen Raub ketika ini, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji daripada DAP," katanya.

Sementara itu, beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap sebarang usaha kerajaan negeri Pahang untuk membersihkan kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam daripada aktiviti pembukaan tanah secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Kawasan penanaman durian musang king di kawasan berkenaan kembali menjadi tumpuan selepas kerajaan negeri melancarkan Op Pamah dan Ahad lalu, menyaksikan berlaku kekecohan antara kumpulan pekebun haram dan anggota penguat kuasa.

Artikel Berkaitan: