X

Kindly register in order to view this article
!

Ringgit dijangka rendah berbanding dolar AS minggu depan

Ringgit dijangka rendah berbanding dolar AS minggu depan. Foto 123RF
A
A

RINGGIT dijangka berada dalam jajaran 4.17 hingga 4.19 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan berikutan peningkatan kes harian Covid-19 di peringkat tempatan selain kekurangan pemangkin positif.

Malaysia mencatatkan kes harian baharu Covid-19 tertinggi pada Jumaat apabila mencatat 9,180 kes, menjadikan jumlah terkumpul mencecah 817,838 kes.

Kes harian baharu tertinggi sebelum ini ialah 9,020 pada 29 Mei lepas.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim bagaimanapun berkata, ringgit dijangka mendapat sedikit sokongan daripada peningkatan harga minyak mentah Brent berikutan kekurangan bilangan simpanan.

Malah, katanya, ini turut memperkukuh pandangan bahawa permintaan terhadap minyak itu semakin meningkat berikutan bermulanya musim panas di AS, termasuk membabitkan aktiviti melakukan perjalanan atau pemanduan.

“Ini dapat menampung tekanan ketidaktentuan berkaitan keadaan pandemik di Asia yang mengalami gelombang jangkitan baharu yang ketara,” katanya kepada Bernama.

Setakat laporan ini, harga minyak mentah Brent melebihi AS$74.00 setong.

Bagi perbandingan mingguan, ringgit susut berbanding dolar AS kepada 4.1895/1940 daripada paras 4.1600/1650 pada minggu sebelumnya.

Ia turut diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0953/0991 daripada 3.0778/0818 pada minggu sebelumnya dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.7798/7860 daripada 5.7188/7256.

Unit tempatan itu juga susut berbanding euro kepada 4.9667/9720 daripada 4.9171/9230 pada minggu sebelumnya dan rendah berbanding yen kepada 3.8076/8120 daripada 3.7303/7351, sebelum ini. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!