Bahaya sindrom keletihan politik

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KALAU ditanya status kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu masih sah atau tidak, jawapannya mudah. Kerajaan PN masih sah di sisi perundangan dan keabsahannya masih tetap utuh.

Ini kerana keputusan yang dibuat oleh mana-mana parti politik mengenai sokongannya kepada kerajaan dalam sebuah pakatan politik tidak membawa sebarang implikasi undang-undang.

Ini boleh disandarkan kepada Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut dengan jelas bahawa penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat hendaklah ditentukan oleh ahli-ahli dewan itu sendiri.

Justeru, sehingga majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat memutuskan sebaliknya, maka PN masih sebuah kerajaan yang sah.

Di pihak UMNO yang menarik sokongan itu juga seperti ada yang tidak beres. Dilihat, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi seperti bersendirian dalam membuat keputusan.

Setakat ini, beliau masih belum menunjukkan sebarang bukti bahawa keputusan tersebut benar-benar diputuskan sebulat suara oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Kenyataan bercanggah sesama ahli MT dan keengganan para menteri UMNO untuk bersuara menguatkan lagi dakwaan tersebut.

Nampaknya dalam hal ini yang jelas barangkali adalah khabar angin mengenai keretakan dalam UMNO ternyata benar dan perpecahan mungkin sudah tidak terelak lagi.

Artikel Berkaitan:

Mungkin di atas kertas sahaja kita boleh mengatakan yang PN tidak lagi menjadi pemerintah. Sungguhpun begitu ia masih perlu dibuktikan dan disahkan secara formal mengikut lunas perundangan, sama ada melalui undi tidak percaya di Parlimen, atau kembali mengadap Yang di-Pertuan Agong dan mengulangi peristiwa serupa yang berlaku Mac tahun lalu.

Walaupun penyelesaian terbaik permasalaan ini adalah pilihan raya, ia mungkin sukar berlaku disebabkan kes Covid-19 negara yang masih tinggi.

Cumanya secara umum keadaan PN masih tetap sama. Satu fakta yang tidak berubah ialah PN adalah kerajaan yang rapuh dan tidak stabil.

Dengan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Kanan sekali pun tidak mampu untuk menterbalikkan fakta tersebut.

Ini mungkin sekadar usaha untuk memastikan UMNO gembira dan tidak meneruskan tindakan keluar daripada PN.

Menderita

Benar, permasalahan ini dicetuskan oleh orang politik sendiri. Maka orang politiklah juga yang harus menyelesaikannya.

Ini mampu mengelakkan penggunaan instrumen perundangan ataupun institusi Parlimen dan istana yang berat dan kompleks.

Tetapi kalau orang politik sentiasa meletakkan survival melebihi segalanya, maka fokus governans akan berterusan teralih dan terganggu daripada yang sepatutnya. Dan inilah yang sedang berlaku dan diperhatikan oleh rakyat. Sudahnya tiada satu perkara dilihat selesai.

Yang menderita dengan semua itu ialah rakyat. Sebab itu terpacul istilah ‘kerajaan gagal’ bagi menggambarkan penderitaan yang mendalam.

Kekalutan mengatur kuasalah yang memesongkan tumpuan dan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin, terutamanya ketika pandemik Covid-19 yang mencabar.

Anehnya semua itu dilakukan atas nama mendahulukan kepentingan rakyat. Rakyat mana yang didahulukan? Kepentingan siapa yang diperjuangkan?

Rakyat sebenarnya sudah kena sindrom keletihan politik. Keletihan itu timbul daripada rasa putus asa yang menjengkelkan terhadap tindakan orang politik.

Pakar strategi politik antarabangsa terkenal, Diana Banister pernah menggariskan tiga punca kepada keletihan politik. Pertama, malaise (kelesuan) yang meluas – perasaan bahawa kerajaan menjadi terlalu besar dan birokratik untuk melakukan kebaikan kepada rakyat.

Kedua, jijik dengan prosesnya – apabila rakyat sudah memilih calon mereka, keadaan masih tidak menjadi baik lantas kecewa dan menyerah.

Ketiga, kecewa dengan orang politik – lebih fokus untuk berkuasa dan memerintah daripada menyelesaikan masalah sehingga rakyat lebih percaya orang tolol daripada orang politik.

Lucunya apabila ditanya tentang penawarnya, Banister hanya menjawab, ‘ia hanya akan tercipta bila ramai orang politik menjadi penanam kobis daripada menjadi pemimpin’. Begitulah nilai orang politik di mata mereka yang keletihan dek politik.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknolohi MARA (UiTM)