Maqis bongkar taktik penyeludup

Maqis Selangor merampas sayuran atas pelbagai kesalahan di bawah Akta 728 yang cuba dibawa masuk ke dalam negara. Gambar kecil: Zamri
Maqis Selangor merampas sayuran atas pelbagai kesalahan di bawah Akta 728 yang cuba dibawa masuk ke dalam negara. Gambar kecil: Zamri
A
A
A

BUKAN sahaja mengawal import dan eksport daging sejuk beku, malah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) yang diwujudkan sejak tahun 2013 turut berfungsi untuk mengawasi produk pertanian sama ada dari dalam mahupun luar negara.

Setakat ini, pelbagai jenis sayuran dan buah-buahan telah dirampas disebabkan pelbagai kesalahan seperti rosak atau paling ketara melibatkan pemalsuan dokumen diimport ke negara ini.

Ternyata Maqis tidak memandang enteng kegiatan mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan bagi memastikan keselamatan komoditi pertanian.

Pengarah Maqis Selangor, Zamri Hashim berkata, Maqis berperanan untuk memastikan barangan pertanian yang dibawa masuk ke negara ini selamat digunakan oleh rakyat Malaysia selain bebas daripada penyakit dan serangga perosak.

Zamri - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Zamri - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

“Penubuhan Maqis adalah atas cadangan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu merupakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani selepas beliau melawat Australia pada tahun 2008.

“Di Australia ada AQIS iaitu Perkhidmatan Pemeriksaan dan Kuarantin Australia, jadi pada pandangannya mengapa Malaysia tidak boleh buat sebuah jabatan seperti itu yang lebih efisien sekali gus dapat melakukan tugas dan tindakan pemeriksaan dengan lebih cepat.

“Sebelum wujudnya Maqis, kawalan di pintu masuk untuk barangan seperti daging, ayam, ikan dan sayuran dilakukan jabatan berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sayuran yang dirampas ketika cuba diseludup masuk.
Sayuran yang dirampas ketika cuba diseludup masuk.

Menurut Zamri, pihaknya akan memastikan barangan pertanian seperti sayuran dan buah-buahan yang dibawa masuk ke Malaysia bebas daripada penyakit, serangga perosak dan selamat dimakan oleh semua pengguna.

Maqis bertugas di 57 pintu masuk termasuk lapan di Selangor membabitkan sempadan udara, laut dan darat.

Pintu masuk di Selangor antaranya ialah Pelabuhan Klang Utara, Pelabuhan Klang Barat, Pelabuhan Klang Selatan serta Kargo KLIA di Sepang.

Antara kerosakan pada sayur-sayuran yang dikesan selepas pemeriksaan teliti Maqis pada dagangan sayuran.
Antara kerosakan pada sayur-sayuran yang dikesan selepas pemeriksaan teliti Maqis pada dagangan sayuran.

Dokumen import, eksport

Urusan import sayuran dan buah-buahan dari luar negara memerlukan Permit Import daripada Maqis, borang Kastam 1 (K1), Sijil 3P (Pembungkusan, Penggredan, Pelabelan) daripada FAMA, invois, senarai pembungkusan dan Bill of Lading.

“Sijil 3P ini bagi memastikan sayuran dan buah-buahan yang dibawa masuk adalah mengikut spesifikasi ditetapkan. Contohnya jika gred A, semuanya perlu gred yang sama.

“Kebanyakan isu yang diterima adalah kemasukan tidak mengikut spesifikasi. Gred ditentukan oleh negara pengimport dan perlu sama dengan borang pengisytiharan. Jika gagal, ia salah mengikut peraturan kita.

“Bill of Lading atau B/L adalah salah satu dokumen paling penting dalam kegiatan pengiriman barang import atau eksport. Bill of Lading adalah surat tanda terima barang yang telah muat dalam kapal.

“Ia juga menjadi bukti pemilikan barang dan bukti adanya kontrak atau perjanjian pengangkutan barang melalui laut.

Pemeriksaan rapi dilakukan pegawai Maqis jika mendapat maklumat ada cubaan menyeludup masuk sayuran dari luar negara.
Pemeriksaan rapi dilakukan pegawai Maqis jika mendapat maklumat ada cubaan menyeludup masuk sayuran dari luar negara.

“Pihak pelayaran membuat dan mengesahkan dokumen ini.

“Bill of Lading adalah dokumen pengangkutan barang yang berisikan informasi lengkap mengenai nama pengirim, nama kapal, data muatan, perincian freight, cara pembayaran serta nama consignee (penerima barang),” jelas Zamri.

Taktik pengimport, ejen

Tambah beliau, urusan eksport pula memerlukan Borang K2, permit Maqis, Bill of Lading, invois serta senarai pembungkusan.

Menurut Zamri, ada beberapa kesalahan yang sering dikesan, contohnya permit yang diberikan menyatakan muatan sayuran 10,000 kilogram, namun dalam pengisytiharan didapati jumlah itu lebih banyak.

“Sebab itu Maqis perlu sentiasa menyemak dokumen dengan betul.

“Tindakan akan diambil dengan merampas jumlah kuantiti yang lebih, bukan semua muatan. Namun, sekiranya muatan itu rosak, kita akan rampas keseluruhannya,” jelas beliau.

Jika penyeludupan sayur berterusan berlaku, ia sedikit sebanyak boleh menyebabkan risiko penyakit berjangkit ke atas produk pertaniah negara.
Jika penyeludupan sayur berterusan berlaku, ia sedikit sebanyak boleh menyebabkan risiko penyakit berjangkit ke atas produk pertaniah negara.

Zamri berkata, pengimport dan ejen akan menggunakan pelbagai cara untuk membawa masuk atau keluar sayuran dan buah-buahan.

“Bila ditahan, akan ada yang cuba mengubah pelbagai taktik.

“Tapi taktik mereka tidak lari daripada tiga perkara iaitu masuk tanpa permit, cuba lepas tanpa permit atau mengelirukan kita dengan pemalsuan dokumen.

“Selain itu, terdapat juga kesalahan tidak disedari oleh pengimport seperti kehadiran serangga perosak dan ia bukanlah kesalahan disengajakan.

“Apa pun kesalahan yang berlaku tetap akan ambil tindakan,” kata Zamri.

Sayur yang rosak boleh menyebarkan serangga perosak, sekali gus menjejaskan produk pertanian di negara ini.
Sayur yang rosak boleh menyebarkan serangga perosak, sekali gus menjejaskan produk pertanian di negara ini.

Cerita beliau, pelbagai alasan kerap dilontar pengimport atau ejen terbabit.

“Jawapan biasa apabila kita soal siasat ialah ‘saya tidak tahu’. Macam mana pun salah tetap salah.

“Tindakan susulan adalah dikenakan kompaun manakala barangan diarah untuk pelupusan,” katanya.

Tiada kartel sayur, buah-buahan

Sejak tahun 2019 hingga Jun tahun ini, Maqis Selangor merekodkan sebanyak 204 kes rampasan sayuran dan buah-buahan membabitkan nilai mencecah RM13.9 juta.

Kesalahan itu adalah disebabkan pelanggaran undang-undang Maqis melibatkan pelabelan, tidak patuh syarat, mengelirukan, penyakit dan perosak serta tiada permit.

“Mengikut pecahan, tahun 2019 mencatatkan 40 kes dengan rampasan berjumlah RM4 juta.

“Jumlah itu telah meningkat pada tahun apabila 114 kes direkodkan dengan nilai rampasan bernilai RM6.7 juta.“Bagi tahun ini pula, terdapat 50 kes dilaporkan dengan rampasan berjumlah RM3.2 juta setakat Jun,” ujar beliau.

Tidak seperti kartel daging, setakat ini belum ada lagi kartel atau sindiket sayuran atau buah-buahan yang didalangi mana-mana syarikat pengimport dan individu.

“Kebiasaan pengimportan ini dilakukan oleh syarikat dan ejen penghantaran terbabit. Ejen atau orang tengah ini akan menguruskan semua kemasukan.

“Ada juga kes ejen dikesan melakukan kesalahan seperti pemalsuan dokumen, dokumen yang mengelirukan dan pengisytiharan yang salah,” katanya.

Sayuran yang dirampas akan dilupuskan secara berperingkat oleh Maqis.
Sayuran yang dirampas akan dilupuskan secara berperingkat oleh Maqis.

Ujarnya, ejen yang mewakili pengimport itu mempunyai peranan yang besar. Mereka menguruskan seratus peratus kemasukan produk.

Katanya, apa yang dikesan Maqis ialah wujud ejen yang melakukan pemalsuan dokumen.

“Pengimport hanya mahu memastikan barang diimport sampai dan perkara itu menyebabkan ada ejen membuat pengisytiharan palsu.

“Di sini pegawai di pintu masuk perlu meneliti setiap dokumen yang dikemukakan,” kata Zamri.

Tambah beliau, Maqis mengambil serius isu keselamatan makanan kerana ia melibatkan hak pengguna iaitu rakyat Malaysia.

“Biarpun pelbagai helah cuba digunakan oleh ejen atau pengimport, mereka tidak akan terlepas daripada pemeriksaan ketat Maqis termasuk pemeriksaan fizikal pada dagangan serta dokumen,” katanya.

Jangan beri muka

Maqis memantau sepenuhnya sebarang unsur rasuah. Jabatan itu tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai serta kakitangan yang menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi.

“Saya beri amaran keras sekiranya ada ejen yang sogok duit untuk memastikan pegawai dan anggota saya tutup mata.

“Kita ada unit integriti dalam jabatan. Jika ada bukti, kes ini akan dibawa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” kata Zamri.

Sebahagian produk pertanian yang diseludup masuk melalui negara jiran.
Sebahagian produk pertanian yang diseludup masuk melalui negara jiran.

Tambahnya, mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat perlu sedia berdepan tindakan undang-undang, seterusnya dipenjara dan ditamatkan perkhidmatan.

Bagaimanapun, beliau mengakui mana-mana jabatan penguat kuasa tidak dapat lari daripada tohmahan masyarakat.

Jelasnya, tugas sebagai penguat kuasa pasti tidak akan disukai pihak tertentu dan mereka akan cuba mencari kesalahan walaupun kecil.

“Saya sendiri mengalami perkara itu. Kereta saya pernah dicalarkan, itu biasa. Ada kereta pegawai disimbah cat dan cermin dipecahkan.

“Itu satu cabaran untuk menguatkuasakan undang-undang,” kata Zamri mengakhiri perbualan.