Gandingan Zuraidin, Zolkples pacu GASTAK

Gambar dari kiri: Zolkples, Zuraidin
Gambar dari kiri: Zolkples, Zuraidin
A
A
A

PRESIDEN Gabungan Sepaktakraw Kelantan (GASTAK), Zuraidin Abdullah, kekal menerajui persatuan itu bagi tempoh sepenggal lagi apabila menang tanpa bertanding, pada Mesyuarat Agung Tahunan sesi 2021-2023 yang diadakan secara dalam talian, pada malam Jumaat.

Sebelum ini, Zuraidin memegang jawatan tersebut bagi tempoh 2019-2021.

Jawatan Timbalan Presiden GASTAK kekal dipegang Tengku Adnan Tengku Burhanuddin, namun penyandang jawatan Naib Presiden Muhammad Che Nuh dan Wan Zulkifli Wan Mustafa, membuat keputusan untuk tidak bertanding bagi memberi laluan kepada muka baharu, memimpin persatuan berkenaan.

Zuraidin berkata, kekosongan itu akan diisi bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong, dan bekas setiausaha GASTAK Azimi Mahmod, yang akan bergandingan dengan Ahmad Shazwan Mohamad Hassan.

“Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak Wan Hassan Wan Ibrahim dan ADUN Pulai Chondong Azhar Salleh bersama Kamaruddin Hamat, Roslin Hamzah dan Syakir As-Salam Ya, dipilih mengganggotai Jawatankuasa Kerja Tertinggi GASTAK,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mesyuarat Agung Tahunan sesi 2021- 2023, dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat.

Zuraidin berkata, bagi jawatan Setiausaha Kehormat pula disandang Pengerusi Kelab Belia Pasir Puteh Norul Hazizi Ismail.

Dalam kenyataan sama, Zuraidin mengalu-alukan kehadiran beberapa muka baharu dalam GASTAK, dan yakin pengalaman yang ada bersama mereka, mampu membawa persatuan itu lebih berdaya saing.

Artikel Berkaitan:

Zuraidin berkata, GASTAK akan terus bekerjasama dengan Majlis Sukan Negeri (MSN) dan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Kelantan, untuk terus melahirkan pemain berbakat.

Beliau berkata, beberapa pertandingan peringkat dalaman, akan diadakan dengan lebih kerap selepas pandemik Covid-19 berakhir.

“Selain itu, kebajikan pemain akan terus dijaga kerana mereka adalah aset utama negeri, dan paling penting, impian menjadikan Kelantan sebagai kuasa utama sepak takraw negara akan terus diperhebatkan,” katanya. - Bernama