X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

MPOC meterai MOU dengan Bursa Komoditi Izmir

A
A

MAJLIS Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Bursa Komoditi Izmir telah memeterai memorandum persefahaman (MOU) untuk menjalinkan kerjasama dalam bidang pendidikan, promosi dan penggunaan minyak sawit Malaysia serta Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, melalui MOU ini, Akademi Bursa Izmir (IBA) cabang pendidikan Bursa Komoditi Izmir bersepakat untuk berkolaborasi melalui pelbagai projek merangkumi perkongsian maklumat perniagaan dan teknikal, peningkatan kesedaran, pensijilan dan aktiviti promosi bersama.

“Kerjasama ini dilihat sebagai langkah strategik yang mampu meningkatkan pembangunan industri sawit Malaysia dan penguasaan pasaran,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Selain itu, beliau berkata, IBA bersetuju untuk menyelaraskan biasiswa kepada wakil, pelajar dan ahli akademik untuk latihan di bawah kajian lapangan IBA dan Malaysia.

IBA juga katanya, akan membantu MPOC untuk melaksanakan kempen penerangan kepada rakyat Turki berjumlah 80 juta orang mengenai faedah pemakanan dan kesihatan minyak sawit Malaysia selain meningkatkan pemahaman serta menjelaskan kelebihan khasiatnya.

“Persetujuan persefahaman turut dicapai untuk merancakkan lagi Program Kesedaran Perdagangan Minyak Sawit (POTAP) antara kedua-dua pihak untuk memberikan pemahaman yang lebih baik mengenai industri minyak sawit Malaysia dan faedahnya.

“Kedua-dua agensi akan memperincikan program berkenaan melalui perjanjian berasingan yang akan diteliti dan ditentukan kemudian,” katanya.

Menurut Khairuddin, Malaysia dan Turki menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) pada tahun 2015, di mana eksport minyak sawit Malaysia meningkat kepada lebih dari 600,000 tan setiap tahun berbanding sebelum FTA iaitu kurang 100,000 tan setahun.

“Pada tahun 2020, Turki mengimport 615,872 tan metrik minyak sawit Malaysia iaitu lebih 90 peratus daripada jumlah import minyak sawit Turki.

“Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berharap melalui memorandum ini, manfaat dan kefahaman minyak sawit negara dapat dipertingkatkan ke Turki seterusnya menjadi gerbang kepada eksport produk-produk sawit Malaysia ke Eropah,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!