X

Kindly register in order to view this article
!

Zii Jia tak pandang enteng undian Tokyo 2020

Zii Jia - Foto FB BAM
A
A

JUARA Seluruh England 2021, Lee Zii Jia tidak memandang mudah cabaran peringkat kumpulan pada Sukan Olimpik Tokyo apabila diundi dalam Kumpulan M bersama Brice Leverdez dari Perancis dan Artem Pochtarov dari Ukraine.

Pemain negara berusia 23 tahun itu menyifatkan Brice sebagai lawan mencabar dan tidak memandang rendah terhadap kemampuannya susulan pengalaman lebih lama pemain berusia 35 tahun itu, selain mahu mengkaji taktik perlawanannya itu menerusi analisa video.

Brice pernah mengejutkan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, pada pusingan pertama Kejohanan Dunia 2017 di Glasgow.

“Mungkin orang akan cakap undian saya agak sukar, sebab mungkin dalam kumpulan pun ada Brice. Kalau bagi undian apa-apa pun memang sama untuk saya, sebab nak jadi juara atau pemain yang bagus, siapa lawan yang datang, anda kena kalahkan.

“Itu baru boleh dipanggil pemain terbaik, kalau nak harapkan pada undian (mudah) sahaja, saya rasa itu bukan pemain terbaik. Saya kini melihat bagaimana saya akan bertindak di Olimpik,” katanya yang bakal membuat penampilan sulung Sukan Olimpik di Tokyo menerusi video dimuat naik di YouTube Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Zii Jia percaya dengan jurulatihnya, Hendrawan dan Tey Seu Bock yang mementingkan kesihatan mental supaya beliau lebih matang dan bersedia untuk beraksi di Tokyo.

“Mereka mesti harap saya pergi dengan hati yang tenang, bukan mereka sahaja, saya rasa semua negara pun jurulatih mereka pun paling takut pemain mereka beraksi dalam tekanan, lagi-lagi di Olimpik,” katanya.

Pemain nombor lapan dunia itu menganggap prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di Tokyo sebagai satu cabaran untuk semua pemain, dan apabila semua perlawanan dijalankan tanpa penonton serta perlu membiasakan diri dengan situasi tersebut.

“Saya pun semakin membiasakan diri (dengan situasi tersebut) selepas All England, Swiss Open dan Thailand Open, jadi mahu atau tidak mahu kita kena biasa dengan situasi macam ini, lagi-lagi SOP akan lebih ketat di Tokyo, jadi saya sudah bersedia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, selepas perlawanan Seluruh England beliau berjumpa dengan Chong Wei untuk berkongsi pengalaman beliau, dalam membantunya untuk terus mempamerkan aksi terbaik pada kejohanan akan datang.

Sementara itu, pemain beregu lelaki Aaron Chia yang akan bergandingan dengan Soh Wooi Yik berkata, mereka berpeluang untuk mara ke suku akhir selepas diundi dalam Kumpulan D, bersama-sama pasangan dari Indonesia Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan, Choi Solgyu-Seo Seungjae dari Korea Selatan, dan gandingan Kanada Jason Anthony Ho-Shue/Nyl Yakura.

“Saya rasa dalam kumpulan, kita masih ada peluang untuk masuk ke suku akhir, sebab kita pun tak pernah lawan pasangan Kanada, manakala pasangan Korea Selatan kita ‘head to head’ dua kemenangan dan dua tewas, jadi ia 50-50.

“Tidak ada siapa yang ada kelebihan sebab di Olimpik, apa pun boleh jadi, apa pun akan lain dengan kejohanan biasa. Kita akan buat analisa video dan fokus kepada latihan intensif seminggu terakhir sebelum bertolak,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!