X

Kindly register in order to view this article
!

Pelajar IPT dibenar pulang sempena cuti semester mulai 12 Julai

Foto fail Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Pelajar institut pendidikan tinggi (IPT) dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sempena cuti semester 2020/2021 mulai Isnin depan (12 Julai), kata Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

KPT dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, mekanisme kawalan pergerakan pelajar dilaksanakan secara berfasa iaitu bagi fasa permulaan, hanya pergerakan pelajar yang tidak tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dibenarkan.

“Pergerakan pelajar dalam kawasan PKPD hanya dibenarkan selepas tempoh PKPD tamat,” menurut kenyataan itu.

Bagi pelajar yang pulang ke Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan Sarawak, kos ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan manakala kos kuarantin ditanggung kerajaan negeri masing-masing.

KPT memaklumkan kaedah pergerakan sehala ditetapkan iaitu menggunakan pengangkutan bas yang diselaraskan IPT masing-masing dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Penggunaan kenderaan sendiri oleh pelajar dibenarkan manakala ibu bapa atau penjaga pula tidak dibenarkan merentas negeri untuk membawa pelajar pulang, menurut KPT.

KPT berkata, kebenaran untuk pelajar IPT pulang ke rumah sempena cuti semester itu dipersetujui dalam Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), semalam.

Cuti semester bermula Julai hingga Oktober depan.

Perincian mengenai pergerakan pelajar boleh dirujuk pada SOP Pelan Pemulihan Negara dan Soalan Lazim Pergerakan Pelajar Pulang bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Pihak berkenaan juga boleh menghubungi Bilik Gerakan Covid-19 KPT yang beroperasi 24 jam sehari di talian 03-88706777/6949/6623/6628, menerusi laman web IPT atau berurusan dengan Pegawai Penyelaras di IPT masing-masing. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!