Syarikat telco perlu selesai aduan pelanggan atau didenda: SKMM

Fadhlullah Suhaimi. - Foto Bernama
Fadhlullah Suhaimi. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan bahawa syarikat telekomunikasi (telco) boleh dikenakan penalti jika terbukti gagal memberi respon terhadap aduan pelanggan mengikut ketetapan standard mandatori kualiti dan perkhidmatan.

Pengerusinya, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, penyedia perkhidmatan terbabit lazimnya dikenakan denda dalam jumlah sewajarnya.

“Penyedia perkhidmatan ini sudah pasti tidak mahu didenda bagi kesalahan seperti perkhidmatan yang tidak bagus dan boleh menjejaskan kemampuan mengurus pelanggan sendiri.

“Sehubungan itu, jumlah penalti itu bukanlah perkara besar tetapi faktanya adalah wujudnya (tindakan) penalti sedemikian.

“Malah, dengan penguatkuasaan sedemikian, adalah diharapkan pihak penyedia perkhidmatan ini akan sentiasa berusaha untuk memastikan perkhidmatan masing-masing di tahap terbaik demi manfaat pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat media secara maya mengenai laporan suku ketiga SKMM yang memperincikan kemajuan terkini pelan infrastruktur digital negara, Jalinan Digital Negara (Jendela) di sini pada Jumaat.

Mengulas selanjutnya, Fadhlullah Suhaimi berkata, adalah sukar bagi perkhidmatan teknikal untuk mengelak daripada sebarang masalah berkaitan.

“Sebagai contoh, komputer yang kita gunakan ini juga perlu kita ‘reboot’ (menghidupkannya semula) dari semasa ke semasa. Begitu jugalah dengan rangkaian (telco) ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjelaskan, sebaik menerima aduan, SKMM akan bertindak memaklumkan penyedia perkhidmatan terbabit yang turut diberi masa untuk menyelesaikan masalah atau isu berbangkit.

“Antara komitmen penyedia perkhidmatan ini adalah tiada lagi keadaan yang mana aduan itu dianggap sebagai selesai tanpa pihak pengadu sendiri yang bersetuju atau memaklumkan bahawa isu itu telah diselesaikan oleh pihak terbabit.

“Inilah salah satu perkara paling positif yang berlaku sejak kita memulakan perjalanan Jendela,” katanya.

Fadhlullah Suhaimi berkata, sebagai rekod, Celcom Axiata Bhd mendahului dengan menerima sebanyak 12,056 aduan pada Jun, 2021.

Di peringkat industri pula, SKMM mendapati peningkatan ketara jumlah aduan yang berkaitan dengan perkhidmatan rangkaian, terutama berikutan amalan bekerja dari rumah serta keperluan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, sebagai asas perbandingan bulanan, bilangan aduan terhadap Celcom pada Jun telah melonjak kepada 12,056 daripada 3,780, sebelum itu.

Maxis Bhd di kedudukan kedua dengan mencatat 8,926 aduan pada Jun berbanding 2,796 pada Mei lalu manakala Digi.Com Bhd menerima 8,056 aduan bagi tempoh sama.

“Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan merupakan satu keadaan luar biasa untuk negara dan jumlah aduan telah meningkat dalam tempoh mencabar tersebut.

“Jika tidak, keadaan lebih cenderung ke arah aliran penurunan,” katanya.

Fadhlullah Suhaimi juga menjangkakan jumlah aduan terbabit akan berkurangan sejurus negara beralih dari Fasa Pertama ke Fasa Kedua dan Fasa Ketiga dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN). - Bernama