Rahman Dahlan nafi kata UMNO rugi jika Covid-19 menurun

Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan
Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Majlis Tertinggi (AMT) UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan menafikan kenyataan yang tular bahawa beliau mengatakan UMNO akan rugi jika kes Covid-19 menurun dan ekonomi meningkat.

Beliau didakwa berkata demikian dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada malam Rabu sehingga dituduh sanggup memperjudikan keselamatan rakyat demi politik UMNO.

Menurutnya, perkara itu telah disalah erti dan banyak hujah tidak dilaporkan sekali gus untuk mengelirukan keadaan.

"Musuh UMNO suka potong ayat saya, persembahkan dalam konteks yang salah dan disalahertikan untuk mengelirukan keadaan. Banyak hujah saya yang lain tidak dilaporkan," katanya.

Beliau berkata, mesyuarat MKT baru-baru ini adalah untuk memutuskan sama ada mahu meneruskan sokongan terhadap Perdana Menteri atau sebaliknya.

"Satu keputusan besar amat berat untuk diputuskan memandangkan ada banyak pandangan mengenai masa sesuai untuk berbuat demikian.

"Ini mesyuarat politik parti terbesar negara. Ini bukan mesyuarat jawatankuasa kampung atau jawatankuasa koperasi.

"Sudah tentu MKT akan membincangkan banyak isu besar negara secara terbuka walaupun ada isu sensitif, nampak kasar dan berisiko untuk disalahertikan terutamanya bila masa diberi untuk berhujah agak pendek," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sejak awal lagi mereka menyedari perbincangan dalam mesyuarat itu mungkin akan ditonton orang lain kerana diadakan secara maya.

"Ternyata kebimbangan itu benar. Seorang menteri UMNO yang bukan ahli MKT telah menularkan tuduhan ini.

"Sebagai seorang ahli MKT, saya wajib memberikan pandangan saya secara jujur dan ikhlas dalam mesyuarat walaupun risiko disalahertikan oleh musuh UMNO.

"Bila saya bercakap tentang masa untuk menarik sokongan kepada Perdana Menteri, saya bermaksud Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menggunakan taktik untuk 'mengenakan UMNO' apabila keadaan sudah berpihak kepada mereka," jelasnya.