Dua lelaki rugi RM19,500 ditipu sindiket pinjaman tidak wujud

Mangsa melihat tawaran pinjaman wang yang diiklankan melalui Facebook sebelum menghubungi syarikat terbabit.
Mangsa melihat tawaran pinjaman wang yang diiklankan melalui Facebook sebelum menghubungi syarikat terbabit.
A
A
A

BUTTERWORTH - Hasrat seorang peniaga di sini mendapatkan pinjaman RM300,000 bagi membeli mesin ais batu bukan sahaja tidak kesampaian malah dia kerugian RM14,800 selepas diperdaya sindiket pinjaman wang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa berusia 48 tahun itu melihat tawaran pinjaman wang yang diiklankan melalui Facebook sebelum menghubungi syarikat terbabit.

Menurutnya, individu yang mengakui ejen syarikat pinjaman wang berlesen itu kemudian menghubungi mangsa melalui aplikasi WhatsApp sebelum meminta butiran diri dan gambar kad pengenalan bagi proses permohonan pinjaman.

"Mangsa juga diarahkan untuk membayar wang proses dan dijanjikan wang itu akan dikembalikan nanti selepas pinjaman diluluskan.

"Terpedaya dengan tawaran itu, mangsa membuat beberapa transaksi bayaran yang keseluruhan berjumlah RM14,800 ke dalam akaun diberikan suspek," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, mangsa hanya sedar ditipu selepas dia gagal menghubungi ejen syarikat terbabit.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Noorzainy berkata, seorang lelaki berusia 21 tahun kerugian RM4,700 juga terpedaya dengan sindiket yang menggunakan modus operandi sama.

Katanya, mangsa dikatakan mahu meminjam sebanyak RM90,000 daripada syarikat berkenaan bagi melangsaikan beberapa hutang tertunggak.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun jelasnya, selepas bayaran proses dibuat, talian yang digunakan suspek sudah tidak dapat dihubungi.

"Kami masih menjalankan siasatan terhadap kedua-dua kes ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan tipu helah sindiket yang menggunakan keldai akaun untuk menjalankan modus operandi mereka dan jangan mudah percaya dengan iklan di media sosial dan internet," katanya.

Tambah beliau, orang ramai boleh membuat semakan lanjut di pautan http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi 'Check Scammers CCID' secara percuma di aplikasi Google Play Store sebelum membuat sebarang transaksi.