Polis siasat agensi pekerjaan bawa masuk pekerja asing positif Covid-19

Pemeriksaan dilakukan mendapati pekerja asing yang dibawa untuk bekerja secara kontrak selama tiga bulan di sebuah kilang di sini tidak menjalani saringan Covid-19.
Pemeriksaan dilakukan mendapati pekerja asing yang dibawa untuk bekerja secara kontrak selama tiga bulan di sebuah kilang di sini tidak menjalani saringan Covid-19.
A
A
A

MELAKA - Seramai 51 daripada 79 pekerja asing yang dibawa masuk ke negeri ini untuk bekerja di sebuah kilang di Ayer Keroh didapati positif Covid-19 sehingga mencetuskan penambahan kes positif di kawasan Perindustrian Ayer Keroh di sini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali, berkata, mereka yang berusia antara 26 hingga 45 tahun dikesan positif Covid-19 selepas melakukan ujian saringan pada Isnin lalu sebelum dikuarantin di sebuah hotel di Banda Hilir.

Menurutnya, agensi pekerjaan beralamat di Petaling Jaya, Selangor yang membawa pekerja asing dari luar Melaka ke negeri ini seharusnya membuat ujian saringan terhadap setiap pekerja terbabit terlebih dahulu sebelum membenarkan mereka bekerja.

"Pemeriksaan dilakukan mendapati pekerja asing yang dibawa untuk bekerja secara kontrak selama tiga bulan di sebuah kilang di sini tidak menjalani saringan Covid-19 mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

"Kita akan meneruskan siasatan dengan memanggil pihak pengurusan syarikat ejen berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan kerana berniat jahat merebakkan sesuatu jangkitan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata kes berkenaan turut disiasat di bawah Peraturan 13(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) 2021 yang memerlukan majikan memastikan pekerja asing menjalani saringan Covid-19.

"Jika didapati bersalah, mereka boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel Berkaitan: