Ahli Parlimen UMNO, BN berpegang kenyataan presiden parti

Kenyataan media DSSK 9 Julai 2021.
Kenyataan media DSSK 9 Julai 2021.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) berpegang kepada kenyataan yang dibuat oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi iaitu memberikan kebebasan budi bicara kepada ahli-ahli Parlimen untuk membuat keputusan ketika sesi pengundian.

Pengerusi Perikatan Nasional Backbenchers (PNBBC) Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, Presiden UMNO telah menyatakan bahawa ahli-ahli Parlimen UMNO boleh menggunakan budi bicara mereka apabila berlaku sebarang pengundian ketika sidang Parlimen berlangsung dan terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurut beliau, pihaknya berpegang pada kenyataan yang dibuat oleh Presiden UMNO itu.

"Terima kasih diucapkan kepada Presiden UMNO, di atas pencerahan yang diberikan berhubung pendirian mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada pada Rabu.

"Terima kasih juga diucapkan kepada majoriti ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN serta seluruh ahli-ahli Parlimen PNBBC yang menyatakan pendirian untuk terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan PN tidak tergugat sama sekali

UMNO tarik sokongan terhadap Muhyiddin serta-merta

Kerajaan PN belum runtuh, sokongan 32 MP BN tidak berganjak

Bagaimana pun, ahli Parlimen Arau itu turut merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Khamis dilihat tidak menggambarkan keputusan awal diumumkan Presiden UMNO.

"Kenyataan Setiausaha Agung UMNO bahawa terdapat pertambahan ketetapan baru yang dikenakan kepada ahli-ahli Parlimen UMNO apabila perlu menjadikan keputusan parti sebagai panduan dalam melaksanakan tanggungjawab ketika sidang Parlimen tidak selari dengan presiden," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, semua pihak diharapkan memberikan penekanan utama kepada usaha melawan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Berikan penekanan kepada usaha melawan Covid-19 daripada terus berpolitik pada era pandemik ini.

"Tingkatkan vaksinasi dan teruskan usaha membela nasib rakyat," katanya.