Pejuang Kelantan yakin lebih cemerlang berbanding UMNO, Pas

 Sazmi Miah
Sazmi Miah
A
A
A

KOTA BHARU - Berlandaskan kepimpinan berprinsip, berintegriti dan antirasuah, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Kelantan yakin dapat memberi khidmat jauh lebih cemerlang berbanding apa yang ditawarkan UMNO dan Pas di negeri ini.

Pengerusi Penaja Pejuang Kelantan, Datuk Sazmi Miah berkata, pihaknya berpendirian bahawa penyelesaian kepada krisis pandemik Covid-19 dan ekonomi negara tidak akan dapat diselesaikan dengan kaedah politik.

Malah, katanya, ia akan mengulangi kegagalan kerajaan sedia ada dan mengundang pelbagai masalah baharu.

"Oleh itu, Pejuang Kelantan menyokong penuh cadangan Pengerusi Pejuang supaya ditubuhkan Majlis Pemulihan Negara sebagai satu mekanisme yang bukan berasaskan politik untuk menangani masalah Covid-19 serta kemelesetan ekonomi negara," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sazmi berkata, Kelantan sebagai sebuah negeri yang majoriti mutlak penduduknya merupakan orang Melayu akan mendapat sebuah parti alternatif eksklusif untuk kaum itu selain UMNO.

Malah, katanya, sudah tiba masanya rakyat Kelantan berpindah dari cengkaman UMNO dan Pas yang telah memerintah Kelantan sejak merdeka namun tiada apa kejayaan boleh dibanggakan berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

"Hakikatnya, selepas lebih 60 tahun Pas dan UMNO silih berganti memerintah negeri dan Pusat, mereka gagal memartabatkan orang Melayu dan agama Islam.

"Orang Melayu terus terbelenggu dengan kemiskinan serta menjadi satu pusaka yang diwarisi dari generasi ke generasi. Agama Islam pula dijadikan bahan jualan politik dan menjadi alat memecahbelahkan orang Melayu.

Artikel Berkaitan:

"Pejuang Kelantan amat simpati dan merasa sangat sedih melihat keadaan rakyat Kelantan yang ibaratkan sebagai layang-layang terputus tali dengan tiada pembelaan wajar daripada kerajaan memerintah.

"Nasib mereka tidak menentu kerana tiada pelan tindakan atau perancangan secara khusus dan tersusun bagi membantu mereka mengharungi pandemik Covid-19 serta krisis ekonomi yang semakin buruk tiada penghujung," ujar beliau.