Lima nelayan ditahan langgar syarat lesen

Maritim Malaysia melakukan pemeriksaan dan kesemua kru ditahan serta hasil tangkapan dirampas untuk siasatan lanjut.- Foto ihsan Maritim Malaysia
Maritim Malaysia melakukan pemeriksaan dan kesemua kru ditahan serta hasil tangkapan dirampas untuk siasatan lanjut.- Foto ihsan Maritim Malaysia
A
A
A

LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan sebuah bot nelayan yang didapati melanggar syarat sah lesen ketika melakukan aktiviti perikanan di kedudukan 8.6 batu nautika tenggara Pulau Jarak di sini pada Khamis.

Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, kegiatan lima kru termasuk tekong itu dikesan ketika pasukan melakukan rondaan bersepadu Op Benteng dan Op Sayong kira-kira jam 10 malam.

"Kapal Maritim (KM) Tugau telah mengesan bot yang mencurigakan itu di perairan Pulau Jarak.

"Pemeriksaan mendapati bot Kelas C tersebut disyaki menggunakan pukat tunda sebagai alat penangkapan ikan di kawasan terlarang Zon B dengan tidak mematuhi syarat sah lesen," katanya.

Menurutnya, lima lelaki berusia antara 26 hingga 40 tahun disyaki warganegara Myanmar ditahan selepas mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah sewaktu pemeriksaan.

"Kesemua kru dan tekong, bot serta hasil tangkapan ikan dianggarkan seberat 80 kilogram kemudian diiringi ke Pusat Tahanan Vesel Kampung Bharu Setiawan bagi siasatan dan tindakan lanjut.

"Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan jika disabit kesalahan mereka juga boleh didakwa di bawah Seksyen 8 (B) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen," katanya.

Katanya, penahanan itu membuktikan bahawa Maritim Malaysia sentiasa bersiap siaga dalam menguatkuasakan undang-undang bagi membendung kegiatan jenayah di laut.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai diminta menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999.