Rakyat gesa pemimpin politik berhenti 'berperang'

Abdullah (kiri) ditemui selepas menerima sumbangan barangan keperluan harian menerusi program Bakul Makanan Parlimen Ampang pada Jumaat.
Abdullah (kiri) ditemui selepas menerima sumbangan barangan keperluan harian menerusi program Bakul Makanan Parlimen Ampang pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Golongan kurang mampu mengesa pemimpin politik berhenti 'berperang' dan memberi tumpuan terhadap nasib rakyat bawahan dalam keadaan Covid-19 yang semakin kritikal.

Seorang pengawal keselamatan dari Ampang, Abdullah Ismail, 56, berkata, negara ketika ini bukan sahaja berdepan pandemik Covid-19 tetapi krisis politik yang panjang seperti tiada berkesudahan.

"Fokus utama pemimpin ketika ini adalah membantu rakyat yang kesusahan dan jika mereka terus berpolitik secara keterlaluan kami di bawah menjadi lebih susah," katanya kepada Sinar Harian.

Bapa empat anak itu ditemui selepas menerima sumbangan barangan keperluan harian menerusi program Bakul Makanan Parlimen Ampang di Pejabat Parlimen Ampang pada Jumaat.

Sementara itu, seorang pembantu rumah dari Taman Kosas, Parvady Maniam, 66, berkata, beban ditanggung rakyat akibat pandemik tidak boleh dipandang ringan khususnya yang kehilangan punca pendapatan.

"Saya bersyukur kerana menerima bantuan ini tetapi bagi mereka yang kehilangan pekerjaan seperti saya sudah tentunya kami memerlukan lebih sokongan dan perhatian daripada kerajaan," katanya.

Seorang lagi penerima, Hamzah Abdullah, 54, pula berpandangan usaha membantu golongan terkesan akan tergugat dan tidak dapat dilakukan secara berhemah apabila pemimpin politik asyik 'bergaduh'.

"Rakyat akan mula berasa bosan dan hilang kepercayaan sehinggakan agenda politik menjadi bahan cemuhan yang mendorong berlakunya pelbagai perkara yang tidak dijangkakan," katanya.

Artikel Berkaitan: