'Tumis lima kali' jadi trademark Kak Yatie

Kak Yatie tidak lokek berkongsi resepi dengan pengikutnya di Instagram
Kak Yatie tidak lokek berkongsi resepi dengan pengikutnya di Instagram
A
A
A
KEPADA pelayar Instagram yang sentiasa memburu resipi, laman sosial @yatiekitchen memang sangat popular. Pernah ada yang menyebut, populariti personaliti Dapur Femina minggu ini melebihi daripada cef sedia ada!

Siapa gerangan empunya Instagram @yatiekitchen? Beliau ialah Nur Hayati Zainol Abidin, 41, atas mesra disapa Kak Yatie. Pertemuan empat mata dengan beliau baru-baru ini di kediamannya di Ampang cukup bermakna.
Boleh penulis rumuskan dalam pertemuan lebih kurang dua jam itu, ekspresinya selari dengan keramahannya ketika berinteraksi dengan pelayar di alam maya. Dan sememangnya penulis tidak mengambil masa lama untuk menyelami portfolio beliau.
Anak kelahiran Muar, Johor mula ini mengatur bicara. Ujarnya berterus-terang, kecenderungannya terhadap dunia kulinari bermula ketika mengikuti subjek Kemahiran Hidup di sekolah. Ketika itu, dirinya berusia 10 tahun.


"Sandwich telur adalah resepi pertama yang saya hasilkan, namun pada masa itu, saya belum sedar yang saya suka memasak. Bila saya hasilkan menu kedua iaitu bihun goreng yang lengkap dengan telur, sayur dan sebagainya, ketika itulah saya (sedar) yang saya punya minat dan berkeinginan untuk memasak," katanya.
Setakat artikel ini ditulis, pengikut laman sosialnya menghampiri setengah juta.Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, Instagramnya itu pada asalnya merupakan platform alternatif untuk berhubung dengan saudara-mara dan rakan setugas. Di situlah, beliau memuat naik video masakan yang bukan sahaja terarah kepada lauk-pauk malah sayur, kek, biskut dan kuih-muih.
Bermula dari saat itu, barangkali dari mulut ke mulut, video ikhlasnya itu menjadi tular hingga ke negara jiran. Sejak dari tahun 2015, @yatiekitchen telah membikin 8,035 post.Jika anda sebahagian pengikut Instagramnya, Kak Yatie sinonim dengan tagline 'tumis lima kali'.
Tagline itu merupakan tip 'berharga' beliau untuk memastikan tumisan menjadi garing dan lazat.
"Ya, memang saya kongsi tip itu khususnya untuk masak masakan berempah dan bersambal seperti asam pedas. Bila tumis lima kali, ternyata rasanya lebih sedap. Sambal atau karinya juga lebih pekat.
"Tip ini saya hasilkan sendiri melalui testimoni-testimoni yang pernah saya lakukan sebelum ini," katanya.

Kak Yatie dilantik sebagai duta Adabi
Kak Yatie dilantik sebagai duta Adabi

Kongsi ilmu
Sebenarnya, Kak Yatie boleh sahaja memilih untuk berdiam diri dan tidak perlu bersusah payah merakam video.Namun, itu bukan pilihan wanita yang berkerja di dalam sektor perubatan itu.
"Ilmu memasak ini konsepnya macam ilmu pengetahuan juga, selagi orang guna ilmu itu selagi itu saya akan dapat...saya juga yakin, jika saya beri lebih, Insya-Allah, saya akan dapat lebih! Kelebihan yang saya ada ini adalah kurniaan ALLAH jadi tak salah saya berkongsi," katanya merendah diri.
Wanita itu menambah, beliau berkongsi apa yang diketahuinya kerana mahu menurunkan ilmu itu untuk wanita yang tidak arif dalam hal masakan.
"Saya tahu bukan semua orang pandai masak. Segelintirnya berkeinginan nak masuk kelas masakan semata-mata nak belajar masak meskipun tak berkemampuan.
"Melalui medium ini, saya harap ia menjadi medan kepada wanita di luar sana belajar memasak. Bagi memudahkan mereka mempelajarinya, saya kongsinya cara asas yang mudah dan ringkas," katanya.

Kari ikan tenggiri, lebih enak jika ditumis lima kali
Kari ikan tenggiri, lebih enak jika ditumis lima kali

Duta Adabi
Ada cerita menarik di sebalik pelantikan Kak Yatie sebagai Duta Adabi. Beliau diberi kepercayaan memegang 'tampuk' itu selepas salah seorang ahli keluarga pihak pengurusan tertinggi syarikat itu berkenan dengan video masakan yang dikongsikannya menerusi Instagram @yatiekitchen.
"Saya memang tak sangka rupa-rupanya dia pengikut tegar video masakan saya. Alhamdulillah, selepas menjadi duta, saya diminta untuk membuat demo masakan di pusat beli-belah setiap kali syarikat itu mengeluarkan produk baharu," katanya.
Kepada wanita-wanita yang baru bertatih hendak memasak, berikut pesanan Kak Yatie.
"Kena berani, kalau takut sampai bila-bila kita akan gagal," ujarnya yang turut mempunyai buku resipi Yatie's Kitchen yang diterbitkan Disember tahun lalu dengan 11,000 cetakan.

Buku resepi dan buku planner pertama Kak Yatie
Buku resepi dan buku planner pertama Kak Yatie