Doktor veterinar didakwa terima suapan demi suami

Norhamizah (dua, kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk pertuduhan kes rasuah, pada Jumaat.
Norhamizah (dua, kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk pertuduhan kes rasuah, pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM – Seorang doktor veterinar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas enam pertuduhan menggunakan jawatan, mendapatkan suapan berjumlah RM58,617 untuk suaminya, pada 2019 dan 2020.

Norhamizah Abdul Hamid, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, wanita itu didakwa menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan bagi suaminya, Iqramudy Sumin, 39, yang juga pemilik syarikat Iqmiz Enterprise.

Ia dibuat menerusi syor memilih syarikat Iqmiz bagi melaksanakan kerja membekal peralatan klinik bergerak veterinar dan pembekalan peralatan makmal bernilai RM39,657.

Ini dilakukan menerusi Permohonan Pesanan Tempatan/Inden bagi Peruntukan Mengurus/Pembangunan bertarikh 30 Ogos dan 11 November 2019.

Bagi pertuduhan ketiga, ibu kepada seorang cahaya mata didakwa memilih syarikat sama untuk kerja-kerja membekalkan makanan, vitamin dan syampu kucing serta anjing bernilai RM18,960.

Ia dibuat menerusi Borang Prestasi Pembekal yang dikepilkan bersama Permohonan Pesanan Tempatan/Inden bagi peruntukan mengurus/pembangunan bertarikh 16 Jun 2020.

Kesalahan didakwa dilakukan di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, di sini pada 16 Jun 2020.

Artikel Berkaitan:

Sementara baki kesalahan lain, wanita itu didakwa atas tiga pertuduhan pilihan, memperoleh suapan berjumlah RM58,617 untuk Iqramudy.

Ia sebagai ganjaran melalui pengaruh peribadinya dengan memberi kemudahan untuk menjalankan kerja-kerja rasmi apabila membuat syor memilih syarikat Iqmiz Enterprise untuk melaksanakan kerja-kerja berkenaan.

Atas kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 163 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Aliff Shaharuzaman mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

"Tertuduh juga perlu mematuhi syarat tambahan iaitu melapor diri di pejabat SPRM Selangor pada minggu pertama setiap bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa miliknya kepada mahkamah," katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Ramesh Lacesmanee merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum dengan alasan suami tertuduh hanya bekerja sebagai penghantar makanan.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Rasyihah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 28 Ogos depan untuk sebutan semula kes.