Keputusan UMNO bukan bersifat politik semata-mata

Gambar kecil: Musa
Gambar kecil: Musa
A
A
A

GEORGETOWN - Keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menarik semula sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan bersifat politik semata-mata.

Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir sebaliknya berkata, keputusan diambil selepas melihat kegagalan pentadbiran negara yang diterajui Muhyiddin dalam menangani pelbagai isu terutama berkaitan kebajikan serta pembelaan rakyat.

Beliau berkata, rakyat dan negara tidak sepatutnya menjadi mangsa terhadap kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menangani isu Covid-19 yang sudah berlarutan lebih setahun.

"UMNO Pulau Pinang mengambil pendirian sama dengan keputusan MKT UMNO yang bermesyuarat pada Rabu.

"Keputusan tersebut merupakan kesepakatan yang selari dengan keputusan dicapai dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada Mac lalu apabila mandat diberikan kepada Presiden dan MKT UMNO bagi menentukan tarikh sesuai untuk menarik semula sokongan kepada kerajaan PN," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO tarik sokongan terhadap Muhyiddin serta-merta

Musa berkata, pendirian yang diputuskan menerusi badan tertinggi parti iaitu Perhimpunan Agung UMNO bukan sahaja perlu dihormati, malah dipertahankan oleh setiap kepimpinan dan ahli parti.

Pada masa sama, beliau turut menyeru agar seluruh kepimpinan dan ahli khususnya di Pulau Pinang kembali berdiri teguh bersama bagi memperkukuh serta menguatkan semula UMNO.

Artikel Berkaitan:

"UMNO perlu terus memainkan peranan dalam mendepani harapan dan aspirasi rakyat serta bekerjasama membantu rakyat menghadapi situasi sukar ketika ini," kata beliau.