Dera kanak-kanak, 142 kes dilaporkan di NS

Nicole (tiga dari kanan) semasa melawat adik Bella di Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah Seremban, pada Jumaat.
Nicole (tiga dari kanan) semasa melawat adik Bella di Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah Seremban, pada Jumaat.
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 142 kes penderaan kanak-kanak direkodkan sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini, berbanding tahun sebelumnya 341 kes di Negeri Sembilan.

Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan, Nicole Tan Lee Koon berkata, sehingga Jun lalu, kes penderaan fizikal mencatatkan laporan tertinggi iaitu sebanyak 85 kes manakala penderaan seksual mencatatkan 36 kes.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 13 kes melibatkan pengabaian kanak-kanak, ditinggalkan ibu bapa dan penderaan emosi masing-masing empat kes.

"Walaupun trend kes penderaan kanak-kanak ini berkurang, namun kita tidak seharusnya leka, perlu sentiasa memerhati keadaan sekeliling, jika ada perbuatan yang disyaki ada unsur penderaan, segera hubungi pihak berkuasa atau talian e-Kasih 15999," katanya kepada pemberita di Pejabat Khidmat DUN Bukit Kepayang pada Jumaat.

Turut serta, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, Rosbah Sardi.

Beliau ditemui selepas melakukan lawatan terhadap adik Bella, yang merupakan anak istimewa yang cedera disyaki didera dirumah keluarga angkat di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, mengulas mengenai adik Bella, Nicole memberitahu kanak-kanak tersebut kini masih mendapatkan rawatan berikutan kecederaan yang dihadapinya.

Katanya, pihak Jabatan Kebajiakn Masyarakat (JKM) akan sentiasa memantau kesihatan adik Bella, bagi memastikan dia terus sihat seperti biasa.

Artikel Berkaitan:

"Selepas semuanya selesai, kita akan uruskan pendaftaran bagi persekolahan Bella yang dijangkakan pada tahun depan.

"Kita harap Bella akan terus sihat dan kembali ceria, memandangkan dia sebelum ini memang merupakan seorang kanak-kanak yang periang dan sangat aktif," katanya.

Nicole turut mencadangkan agar penilaian keupayaan mental, perlu dilaksanakan kepada individu yang ingin mengambil anak istimewa sebagai anak angkat, memandangkan cabaran untuk menjaga anak istimewa ini memerlukan kesabaran yang sangat tinggi.