X

Kindly register in order to view this article
!

Lim Guan Eng mohon kes rasuah dipindah ke Mahkamah Tinggi

Lim Guan Eng
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah memfailkan permohonan supaya kes rasuah membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu, yang akan dibicarakan Selasa depan di Mahkamah Sesyen, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan notis permohonan yang difailkan semalam (8 Julai) menerusi Tetuan Gobind Singh Deo & Co, Guan Eng turut memohon supaya semua prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonannya bagi memindahkan kes yang akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin, Isnin ini.

Guan Eng menerusi afidavit sokongannya berkata, kes dihadapinya itu perlu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi agar keputusan berkaitan kes berkenaan boleh dirayu sehingga ke Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika dihubungi pemberita melalui aplikasi WhatsApp pada Jumaat berkata, pihaknya akan membantah permohonan berkenaan antaranya atas alasan ia difailkan di saat akhir.

"Perbicaraan kes di Mahkamah Sesyen akan bermula Selasa depan di hadapan Hakim Azura Alwi dan pihak pendakwaan telah bersedia untuk menjalankan kes dan akan memanggil beberapa orang saksi dari Pulau Pinang untuk memberi keterangan.

"Namun, semalam pihak kami mendapat tahu bahawa peguam bela kepada YB Lim telah memfailkan permohonan di bawah Sesyen 417 Kanun Tatacara Jenayah untuk memindahkan kes dihadapi Lim dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi," katanya yang turut memaklumkan tarikh perbicaraan kes itu telah dipersetujui kedua-dua pihak pada 21 Disember tahun lepas.

Sebelum ini, mahkamah telah menetapkan 13 hingga 16 Julai; 28 dan 29 Julai, 16 hingga 20 Ogos, 6 hingga 10 September, 20 hingga 24 September dan 13 hingga 17 Disember depan untuk perbicaraan kes.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Guan Eng dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011, antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi.

Ahli Parlimen Bagan itu juga dituduh atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar, pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!