'Azizulhasni tahu tugasnya di Tokyo 2020'

Mohd Azizulhasni
Mohd Azizulhasni
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) merumuskan bahawa jaguh berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang tahu apa yang perlu dilakukannya di temasya Sukan Olimpik Tokyo yang akan membuka tirai pada 23 Julai ini.

Pengurus pasukan Datuk Ashakari Abu Noor berkata, ini adalah pandangan PKBM selepas meneliti pandangan semua pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Beliau berkata, ketua jurulatih skuad berbasikal trek kebangsaan John Beasley juga telah memberikan senario terkini tentang prestasi pelumba negara dan PKBM yakin Mohd Azizulhasni mempunyai semua ramuan untuk merangkul pingat emas pertama di Sukan Olimpik.

“Rasanya semua orang telah menyantuni Azizulhasni dengan baik, semua keperluan telah dipenuhi kerana kita memang mahukan hasil yang positif daripada Sukan Olimpik di Tokyo.

“PKBM percaya Azizulhasni tahu apa yang beliau perlukan di Sukan Olimpik nanti. Beliau ialah seorang pelumba yang hebat, berpengalaman dan bijaksana orangnya,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Ashakari meminta peminat sukan berbasikal negara sentiasa berdoa agar pelumba yang terkenal dengan julukan ‘Pocket Rocketman’ itu berjaya membawa pulang kilauan emas Sukan Olimpik dari Tokyo.

Ashakari menjelaskan beliau mempunyai pengalaman manis bekerjasama dengan Mohd Azizulhasni sejak Kejohanan Lumba Basikal Asia 2009 (ACC 2009) di Kalimantan, Indonesia dan Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Mohd Azizulhasni dan seorang lagi pelumba negara Mohd Shah Firdaus Sahrom layak dalam acara keirin dan pecut individu secara merit di Tokyo 2020.

Artikel Berkaitan:

Di Sukan Olimpik Rio 2016, Mohd Azizulhasni melakar sejarah sebagai pelumba basikal pertama untuk meraih pingat di Olimpik, selepas memenangi pingat gangsa menerusi acara keirin. - Bernama