CAP gesa haramkan penjualan air manis di mesin layan diri

Mohaideen
Mohaideen
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa supaya mengharamkan penjualan minuman bergula di mesin layan diri di hospital, sekolah dan tempat awam lain.

Presidennya, Mohaideen Abdul Kader berkata, gesaan itu dibuat berikutan tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa Australia Barat untuk mengharamkan penjualan minuman bergula sebagai sebahagian daripada langkah untuk memerangi obesiti.

Menurutnya, melalui dasar berkenaan, semua mesin layan diri dan kedai runcit termasuk kafe, kedai cenderahati dan kios tidak dibenarkan untuk menjual minuman manis yang mempunyai nilai pemakanan yang rendah atau tiada sama sekali seperti minuman ringan, teh ais, minuman tenaga dan sukan, sesetengah jus buah-buahan, minuman berperisa serta susu.

"Malaysia sepatutnya mengambil pengajaran daripada perkara ini memandangkan negara kita mempunyai kelaziman obesiti tertinggi dalam kalangan orang dewasa di Asia Tenggara.

"Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, 50.1 peratus daripada penduduk dewasa kita dilaporkan mempunyai berat berlebihan (30.4 peratus) atau obes (19.7 peratus)," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Mohaideen berkata, obesiti adalah faktor risiko bagi penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes jenis 2, penyakit kardiovaskular dan beberapa jenis kanser seperti kanser payudara, usus besar, pankreas dan buah pinggang.

Berbanding dengan individu yang mempunyai berat badan biasa, beliau berkata, obesiti meningkatkan risiko diabetes jenis 2 tujuh kali ganda dalam kalangan lelaki dan 12 kali ganda dalam kalangan wanita.

"Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pesakit dengan penyakit kardiovaskular, penyakit pernafasan kronik, diabetes dan kanser lebih mudah terjejas apabila mereka dijangkiti Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Kementerian Kesihatan pula memaklumkan, pesakit Covid-19 dengan NCD mengalami gejala lebih teruk dengan lebih 85 peratus daripada mereka yang meninggal dunia merupakan penghidap penyakit seperti diabetes dan hipertensi.

"Individu obes mempunyai 81 peratus risiko menghidap penyakit jantung dan 64 peratus, strok. Penduduk Asia cenderung untuk menghidap diabetes jenis 2 dan penyakit kardiovaskular pada indeks jisim tubuh (BMI) lebih rendah,"katanya.

Kos rawatan bagi penyakit diabetes dan kardiovaskular adalah sekitar RM70.1 bilion pada 2017, bersamaan kira-kira 5.1 peratus keluaran dalam negara kasar Malaysia pada tahun yang sama.

Sementara itu, Mohaideen berkata, kemunculan mesin layan diri yang menjual minuman bergula di tempat awam menyukarkan pengguna muda mengawal diri.

Sebelum ini CAP katanya, telah membuat banyak gesaan kepada pihak berkuasa agar mengharamkan penjualan minuman bergula di mesin layan diri kerana kajian mendedahkan rakyat Malaysia mengambil terlalu banyak gula dalam diet mereka.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada tindakan diambil dan bilangan rakyat Malaysia yang menderita akibat daripada obesiti semakin meningkat.

"Disebabkan negara sedang menghadapi pandemik Covid-19, maka pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera untuk mengharamkan penjualan minuman bergula di mesin layan diri kerana ia akan menyumbang kepada obesiti yang merupakan faktor risiko bagi NCD,"katanya.