Penggunaan katil kritikal, PPUM pindah pesakit ke hospital swasta

Penggunaan katil di ICU di PPUM juga sudah berada pada tahap maksimum iaitu 32 katil. - Gambar hiasan
Penggunaan katil di ICU di PPUM juga sudah berada pada tahap maksimum iaitu 32 katil. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mula memindahkan pesakit ke hospital swasta berikutan kapasiti penggunaan katil wad Covid-19 di hospital berkenaan sudah mencecah 90 peratus.

Menurut laporan Astro Awani, Pengarah PPUM, Profesor Dr Nazirah Hasnan berkata, pesakit yang dipindahkan itu merupakan pesakit bukan Covid-19.

Beliau berkata, penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) di hospital terbabit juga sudah berada pada tahap maksimum iaitu 32 katil.

Menurutnya, walaupun PPUM masih mempunyai katil yang boleh digunakan tetapi tenaga kerja untuk menguruskan pesakit tidak mencukupi.

"Tenaga kerja yang saya maksudkan adalah doktor merangkumi doktor pakar dan pegawai perubatan untuk menjalankan perkhidmatan.

"Selain itu, tenaga kerja jururawat juga agak kritikal. Kalau kita nak buka katil tapi tak ada jururawat, siapa nak jaga pesakit?" katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkenaan peningkatan kes Covid-19 yang tinggi di Lembah Klang serta penggunaan fasiliti kesihatan melebihi tahap kritikal.

Berikutan itu, Dr Nazirah berkata, langkah memindahkan pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta merupakan usaha jangka masa pendek pihaknya dalam menangani kes-kes harian Covid-19 yang meningkat saban hari.

Artikel Berkaitan:

Katanya, inisiatif itu dilakukan pihaknya dengan kerjasama hospital swasta lain melalui dana yang disalurkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

"Ini disebabkan kita terpaksa membuka katil Covid-19 dengan lebih banyak.

"Jadi, pesakit bukan Covid-19 yang tidak dapat dirawat di PPUM termasuk yang memerlukan pembedahan dan intervensi elektif serta kes-kes kecemasan dan tidak boleh dirawat, akan dipindahkan," katanya.

Covid-19: Penggunaan katil lebih 90 peratus, PPUM mula pindahkan pesakit ke hospital swasta