Bekas ratu cantik tidak mengaku tumbuk polis, guna dadah

Kohinoor (kanan) dan Shen Tying (dua, kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Jumaat atas pertuduhan menumbuk anggota polis dan menggunakan dadah berbahaya.
Kohinoor (kanan) dan Shen Tying (dua, kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Jumaat atas pertuduhan menumbuk anggota polis dan menggunakan dadah berbahaya.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang bekas ratu cantik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas dua pertuduhan iaitu menumbuk anggota polis dan menggunakan dadah berbahaya.

Kohinoor Damodaran Kaittiani, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam dengan menumbuk anggota polis, Koperal Sharularifin Sarmadan.

Kesalahan dilakukan di Jalan Universiti di sini kira-kira jam 3 pagi Khamis.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan dadah berbahaya jenis

tetrahydrocannabinol di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira jam 2 petang pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, serta pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Lau Chia Xin mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Datin Raj Preet Kaur merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah kerana perniagaan restorannya terpaksa ditutup berikutan penularan Covid-19 ketika ini.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Zhafran membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 bagi pertuduhan pertama, manakala RM1,000 bagi pertuduhan kedua dan menetapkan 6 Oktober depan bagi sebutan semula kes.

Dalam prosiding sama, rakan Kohinoor iaitu Quek Shen Tying, 33, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan dadah jenis sama kira-kira jam 2.15 petang pada tarikh dan lokasi sama dengan pertuduhan di bawah seksyen serta hukuman sama.

Mahkamah kemudian membenarkan Shen Tying diikat jamin RM1,500 dan menetapkan 1 Oktober depan bagi sebutan semula kes.

Pada Khamis, wanita berkenaan ditahan selepas bertindak merempuh sekatan jalan raya (SJR) dan menumbuk anggota polis dalam satu kejadian di Lebuhraya Persekutuan.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.10 pagi itu, wanita berusia 28 tahun itu dikatakan bertindak agresif dan dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol serta dadah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, suspek memandu kenderaan tersebut bersama seorang rakan wanita dari arah ibu negara menghala ke Petaling Jaya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu wanita mabuk tumbuk polis