Kenyataan ahli Parlimen BN sokong Muhyiddin sahih

Shahidan Kassim
Shahidan Kassim
A
A
A

SHAH ALAM - Kenyataan bersama ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang menyatakan sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah sahih, dakwa Pengerusi Perikatan Nasional Backbenchers (PNBBC), Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Menurut laporan The Star, Shahidan berkata, kenyataan itu benar dan datang daripada semua ahli Parlimen BN berhubung perkara tersebut.

“Mereka yang tidak setuju boleh menyatakannya sendiri, tetapi saya dan Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin menginginkannya.

Begitu juga yang lain," katanya pada Jumaat.

Pada Khamis, ahli Parlimen BN dilaporkan sepakat untuk kekal menyokong kerajaan PN yang mentadbir negara ketika ini.

Ahli Parlimen BN dalam satu kenyataan berkata, pendirian itu berdasarkan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di mana ahli-ahli Parlimen diberi kebebasan untuk menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri atau sebaliknya termasuk jika berlaku sebarang pengundian dalam sesi Parlimen pada 26 Julai sehingga 2 Ogos.

Sementara itu, Shahidan berkata, kenyataan tersebut ditandatangani oleh majoriti ahli Parlimen daripada gabungan tersebut.

“Mungkin hanya satu atau dua yang menentangnya.

Artikel Berkaitan:

Tetapi seperti yang anda lihat, ahli Parlimen daripada Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Negeri Sembilan dan negeri-negeri lain memihak kepada mereka," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi hantaran Facebooknya menimbulkan keraguan terhadap kenyataan media yang sepatutnya ditandatangani oleh ahli Parlimen BN untuk menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Kata Najib, sebagai Ahli Parlimen Pekan, beliau tidak pernah bersetuju untuk menentang pendirian Majlis Tertinggi UMNO menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Jelas Shahidan, ahli Parlimen BN yang tidak menyokong adalah bebas untuk bersuara.

“Setiap orang adalah individu dengan pemikiran mereka sendiri. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga mengeluarkan kenyataan yang mengatakan bahawa anggota Parlimen bebas memilih untuk menyokong sesiapa sahaja di Parlimen,” ujar beliau.

Pada Khamis, Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO berkata, parti tersebut telah memutuskan secara rasmi menarik sokongan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kerana gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh MKT UMNO.

Ahmad Zahid berkata, keputusan sebulat suara itu diputuskan MKT UMNO selepas mesyuarat secara maya yang berlangsung pada Rabu.

UMNO mempunyai 38 ahli Parlimen daripada jumlah keseluruhan 222 ahli Parlimen termasuk sembilan dilantik sebagai menteri.

Bagaimanapun, kini terdapat 220 ahli Parlimen berikutan kematian Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong dan Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO tarik sokongan terhadap Muhyiddin serta-merta