9,180 kes harian Covid-19 direkodkan hari ini

Jangkitan kes Covid-19 di seluruh negara semakin membimbangkan apabila hari ini mencatatkan 9,180 kes baharu.
Jangkitan kes Covid-19 di seluruh negara semakin membimbangkan apabila hari ini mencatatkan 9,180 kes baharu.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Situasi pandemik Covid-19 di Malaysia terus memuncak dengan 9,180 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan pada Jumaat.

Ia merupakan rekod harian baharu tertinggi setakat ini.

Selangor terus menjadi negeri yang mempunyai kes tertinggi dengan 4,400 kes baharu pada Jumaat, diikuti Kuala Lumpur (1,271), Negeri Sembilan (899), Kedah (417), Sarawak (406), Sabah (323), Sarawak (315), Perak (241), Melaka (222), Kelantan (151) dan Pulau Pinang (142).

Terdapat empat negeri dan wilayah merekodkan kes di bawah 100 iaitu Terengganu (82), Labuan (80), Putrajaya (16) dan Perlis (satu).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, situasi peningkatan kes di Selangor dan Kuala Lumpur telah dijangka berikutan peningkatan saringan bertumpu yang sedang giat dijalankan di kawasan-kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) serta kilang-kilang.

"Terdapat ramai juga individu di kawasan Lembah Klang yang tampil sendiri ke klinik swasta untuk menjalani ujian Covid-19," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, daripada jumlah baharu yang dilaporkan, terdapat tujuh kes import dan 9,180 merupakan penularan dalam negara membabitkan 7,122 rakyat tempatan serta 2,051 warga asing.

"Pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif ialah sebanyak 817,838 kes," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sebanyak 80,665 kes aktif di seluruh negara termasuk 959 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

"Seramai 465 pesakit pula memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Beliau berkata, terdapat 77 kes kematian membabitkan 73 rakyat tempatan dan empat warga asing.

Menurutnya, kes kematian tersebut membabitkan 28 kes di Selangor, selain Kuala Lumpur (17), Melaka (sembilan), Johor (lima), Negeri Sembilan (lima), Pahang (empat), Sarawak (tiga), Perak (dua), Terengganu (dua), Kedah (satu) dan Labuan (satu).

"Jumlah keseluruhan kes kematian ialah 5,980 kes," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, seramai 5,713 pesakit telah sembuh menjadikan jumlah keseluruhan dicatatkan ialah sebanyak 731,193 kes.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 21 daripada 30 kluster baharu yang dikenal pasti merupakan kluster tempat kerja.

Ujarnya, kluster itu dikesan di Johor, Melaka, Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Negeri Sembilan dan Sarawak.

"Terdapat empat kluster komuniti yang mana tiga daripadanya dikesan di Kelantan.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengenal pasti tiga kluster pusat tahanan dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi serta kluster pendidikan lain," katanya.

Tambah beliau, Jumlah keseluruhan kluster ialah sebanyak 3,029 dan 2,164 daripadanya telah diisytiharkan tamat, sementara 865 lagi masih aktif.

Sehingga 9 Julai 2021: Jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan adalah 9,180 kes (817,838 kes)

Pecahan setiap negeri (Kumulatif):

Selangor - 4,400 (277,393)

WPKL - 1,271 (86,313)

Johor - 315 (74,037)

Sabah - 323 (71,791)

Sarawak - 406 (68,247)

Negeri Sembilan - 899 (51,213) pic.twitter.com/2shlNvCbXf

— Noor Hisham Abdullah (@DGHisham) July 9, 2021