Sultan Selangor ingatkan umat Islam jauhi tindakan bunuh diri

Sultan Sharafuddin (dua dari kiri) mengingatkan umat Islam agar menjauhi tindakan bunuh diri. - Foto ihsan FB Selangor Royal Office.
Sultan Sharafuddin (dua dari kiri) mengingatkan umat Islam agar menjauhi tindakan bunuh diri. - Foto ihsan FB Selangor Royal Office.
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengingatkan umat Islam di negeri ini agar menjauhi tindakan bunuh diri yang merupakan satu dosa besar dan dilarang oleh syarak.

Sultan Sharafuddin bertitah, Islam melarang hambanya membunuh diri dan tindakan berkenaan juga adalah dianggap mengkhianati amanah yang diberikan oleh ALLAH SWT.

Titah baginda, penularan wabak Covid-19 tidak dinafikan menjadi satu bentuk ujian daripada ALLAH SWT sehingga mencetuskan tekanan dan mendorong keinginan sesetengah pihak membunuh diri akibat berputus-asa.

"Individu muslim perlu memantapkan keimanan agar perbuatan bunuh diri tidak menjadi satu penyelesaian masalah kehidupan apabila berputus asa," titahnya menerusi kemaskini di laman Facebook Selangor Royal Office, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Sultan Selangor turut menyeru umat Islam di negeri ini untuk memahami dan menghayati kandungan Khutbah Jumaat bertajuk, Tuntutan Memelihara Nyawa yang dibacakan oleh khatib di setiap masjid seluruh negeri ini.

Titah baginda, isi kandungan khutbah pada minggu ini amat perlu diketengahkan sebagai pedoman dan pengajaran susulan peningkatan kes bunuh diri sejak kebelakangan ini.

"Kita perlu berasa takut dengan ancaman terhadap tindakan bunuh diri seperti yang ditegaskan Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis yang mengatakan tindakan bunuh diri merupakan perbuatan terkutuk dan dilarang ALLAH SWT," titahnya.

Berikutan itu, Sultan Selangor bertitah agar semua pihak memberi sokongan kepada masyarakat yang hidup dalam keadaan tekanan bagi menggelakkan mereka mengambil tindakan sedemikian.

Artikel Berkaitan:

"Pimpinan masyarakat, komuniti, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu perlu tampil dengan idea dan cadangan bagi membantu menyokong masyarakat yang terkesan," titahnya.


Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)