Suri rumah sanggup buat laporan palsu disamun demi mahu duit suami

Baharuddin
Baharuddin
A
A
A

DUNGUN - Hanya kerana mahu wang lebih daripada suami untuk kegunaan peribadi, seorang suri rumah tergamak mencederakan dirinya sendiri sebelum membuat laporan palsu kononnya telah dipukul dengan batang besi dan disamun.

Tindakan itu bagaimanapun terbongkar terbongkar apabila siasatan ke atasnya mendapati kesan bengkak pada kepalanya dipercayai disebabkan permukaan objek tumpul atau pukulan sendiri.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharuddin Abdullah berkata, perkara itu didedahkan oleh doktor yang merawat wanita berusia 40 tahun itu di Hospital Dungun.

Beliau berkata, hasil soal siasat, wanita terbabit mengaku membuat laporan palsu berhubung insiden itu.

"Wanita tersebut mendapat rawatan jam 5.30 petang di Hospital Dungun susulan laporan samun yang dibuat pada Rabu lalu.

"Bagaimanapun, pada jam 7 malam, pegawai penyiasat telah merakam percakapan dengan doktor yang merawat wanita itu dan diberitahu bahawa tiada calar pada kesan bengkak di kepala wanita berkenaan selain ia bukan disebabkan batang logam sebaliknya akibat permukaan objek tumpul atau pukulan sendiri.

"Berikutan itu, siasatan lanjut telah dilakukan ke atas pengadu dan dia mendedahkan cerita sebenar bahawa laporan polis dibuat adalah palsu.

"Wanita itu turut mengaku tindakan itu dibuat kerana memerlukan wang lebih daripada suami untuk kegunaan peribadi selain menagih simpati daripada suaminya, " katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau berkata, kes samun dilaporkan pengadu diklasifikasikan sebagai laporan tidak berlaku sebarang kesalahan (NOD) dan pihak polis akan membuat laporan berhubung laporan palsu tersebut.

"Satu laporan polis akan dibuat keatas pengadu di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu," katanya.

Terdahulu, pengadu membuat laporan polis mengatakan kononnya dia disamun seorang lelaki berusia 30-an ketika berada di Perumahan Kilang Sawet Kerteh 6, Ketengah Jaya di sini, pada jam 12.30 tengah hari Rabu.

Dalam laporan itu, pengadu mendakwa didatangi suspek yang menutup muka menggunakan sehelai baju berwarna hitam di hadapan rumah sebelum bertindak memukulnya dengan batang besi serta meragut rantai emas bernilai RM2,000 dan wang tunai RM200.