Pelantikan baharu kabinet tidak beri kesan negatif

Pelantikan baharu kabinet disifatkan sebagai memaparkan komitmen penuh kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk membendung pandemik Covid-19.
Pelantikan baharu kabinet disifatkan sebagai memaparkan komitmen penuh kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk membendung pandemik Covid-19.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelantikan baharu kabinet disifatkan sebagai memaparkan komitmen penuh kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk membendung pandemik Covid-19 selain memastikan ekonomi terus maju walaupun dalam kegoyahan ekonomi global, menurut Ketua Pakar Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed.

Beliau berkata, jumlah eksport dan dagangan Malaysia masih kukuh.

“Pelantikan baharu ini akan mengikut strategi ekonomi yang sama untuk mempercepatkan proses vaksin dan menggalakkan lebih ramai rakyat menerima vaksin.

“Saya berpandangan, dengan kepantasan semasa dan ketibaan 12 juta dos vaksin pada bulan ini, kita menjangka 60-80 peratus daripada penduduk akan melengkapkan dos mereka menjelang akhir September, dan ini adalah luar biasa dengan mengambil kira bahawa banyak negara terjejas termasuk Australia, Jepun, Vietnam dan India,” katanya.

Jumlah dagangan Malaysia pada Mei 2021 berkembang sebanyak 48.7 peratus tahun ke tahun kepada RM170.9 bilion berikutan eksport dan import negara mengekalkan pertumbuhan dua angka yang kukuh, seperti yang dilaporkan Jabatan Perangkaan.

Eksport, import dan jumlah dagangan masing-masing mencatatkan pertumbuhan 47.3 peratus, 50.3 peratus dan 48.7 peratus.

Menurut Shan, Malaysia masih mempamerkan peranan yang baik dalam mengekalkan kestabilan makroekonomi meskipun berdepan pelbagai cabaran.

Juwai IQI mengekalkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar negara bagi 2021 antara tiga dan empat peratus, defisit belanjawan antara enam hingga tujuh peratus, manakala ringgit diunjur dalam jajaran 3.67 hingga 4.10 berbanding dolar AS.

Artikel Berkaitan:

“Secara keseluruhan, kami di Juwai IQI optimis, namun berhati-hati mengenai pertumbuhan ekonomi dan unjuran ke atas Malaysia.

“Ekonomi Malaysia memiliki daya tahan untuk melonjak semula berikutan tenaga buruh yang produktif, infrastruktur teknologi yang moden dan dasar ekonomi yang konsisten terhadap pelabur global dan tempatan,” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu mengumumkan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan manakala Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilantik sebagai Menteri Kanan yang mengetuai Kluster Keselamatan dan mengekalkan portfolio sebagai Menteri Luar.

Pelantikan itu berkuat kuasa serta-merta.

Susulan pelantikan itu, Ismail Sabri dilaporkan berkata, ia menerima tanggungjawab berkenaan sebagai amanah yang perlu digalas dengan ikhlas dan jujur demi kestabilan politik, ekonomi dan kemakmuran negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Ismail Sabri dilantik Timbalan Perdana Menteri, Hishammuddin Menteri Kanan

Menurut beliau, pelantikan itu bukan satu keistimewaan, sebaliknya adalah amanah dan tanggungjawab yang berat khususnya ketika negara menghadapi pandemik COVID-19 dan dalam usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara.

Sementara itu, Profesor Ekononomi Sunway University, Dr Yeah Kim Leng menyifatkan perkembangan politik sedemikian, tentunya akan meningkatkan kebimbangan pelabur terhadap ekonomi.

“Bagaimanapun, selagi wujudnya fokus yang berterusan oleh pentadbiran negara, khususnya perkhidmatan awam dalam membendung pandemik, pembukaan semula perniagaan dan kilang dan mengekalkan ketenteraman dan kestabilan sosial, kesan buruk ke atas pasaran dan ekonomi adalah terhad,” katanya.

Kim Leng berkata, kalangan pakar ekonomi menjangkakan perkembangan terkini itu akan mencetuskan sedikit gangguan terhadap fungsi ekonomi dan pasaran.

Profesor Dr Jamal Othman dari Fakuti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia pula berkata, masyarakat dan ekonomi begitu terjejas dengan langkah berpanjangan yang dilaksanakan bagi memerangi Covid-19.

Sehubungan itu, beliau yakin semua pihak mengharapkan satu perubahan dasar yang utama, yang akan menyaksikan kerajaan mempercepatkan langkah vaksinasi Covid-19 dan melengkapkan negara dengan ekosistem yang sesuai sekiranya koranavirus menjadi endemik, tanpa mengira sesiapa pun yang menerajui kerajaan.

“Menutup ekonomi, mungkin bukan lagi merupakan satu pilihan,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian di Twitter pada Khamis dilaporkan berkata, Malaysia mencatatkan 8,868 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini mencecah 808,658. - Bernama