Anggota tentera maut kemalangan

Kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan namun pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan namun pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan.
A
A
A

KOTA BHARU – Seorang anggota tentera maut selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di kilometer 4, Kampung Tunjung berhampiran sebuah pasar raya di sini pada awal pagi Jumaat.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mangsa Muhamad Asyraf Azhari, 28 tahun yang beralamat di Wakaf Mek Zainab menunggang motosikal dipercayai dari arah Kota Bharu menghala ke Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu, kemalangan berkenaan turut melibatkan sebuah kereta yang dipandu seorang pegawai kesihatan dari Kampung Desa Baru, Jalan Lati Kedai Mulong.

Menurutnya, motosikal ditunggang mangsa dipercayai bertembung dengan kereta terbabit dipercayai datang dari arah bertentangan dan menghala ke Kota Bharu.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta berkenaan memasuki laluan bertentangan ketika cuba memotong sebuah kenderaan lain yang tidak dikenal pasti sehingga menyebabkan berlaku perlanggaran,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Abdul Rahim berkata, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian muka serta dada dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian manakala pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kami juga memohon kerjasama sesiapa yang melihat kemalangan ini untuk menghubungi pihak polis atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel Berkaitan: