'Kurangkan polemik politik, utamakan tangani Covid-19'

Dr Aliakbar Gulasan
Dr Aliakbar Gulasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Pas Sabah menggesa semua pihak agar mengurangkan polemik politik sebaliknya terus memberi fokus terhadap usaha membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Setiausaha Pas Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata, keutamaan kerajaan ketika ini termasuk di Sabah adalah untuk menangani penularan penyakit dan juga menjaga kebajikan rakyat.

Menurutnya, dalam keadaan sekarang pendekatan terbaik adalah mengurangkan polemik politik kerana masyarakat sudah muak dan ada sebahagian mereka yang tidak makan serta dapur tidak berasap.

"Suasana yang kita hadapi sekarang tidak kira di Sabah atau Semenanjung adalah sama, jadi orang politik kena main peranan mereka dalam membantu rakyat.

"Jangan ambil kesempatan dengan keadaan ketika ini sama ada pihak kerajaan atau pembangkang," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas melancarkan Rak Kongsi Rezeki di Kingfisher Likas pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung situasi politik semasa negara yang dibelenggu krisis berpanjangan.

Mengulas lanjut berhubung kesannya terhadap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aliakbar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik mahu agar mandat yang diberikan rakyat harus dikekalkan sehingga pilihan raya akan datang.

"Pas Sabah menyokong kenyataan Datuk Seri Bung Moktar Radin (Pengerusi UMNO Sabah) berhubung mengekalkan kerajaan GRS kerana kita baharu sahaja diberi mandat oleh rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Saya beri pujian kepada UMNO Sabah, kita melihat semangat setiakawan itu begitu kuat dan kita mengambil mandat rakyat sehingga akhir penggal," katanya.