Ras Adiba cadang golongan albino kategori OKU

Ras Adiba Radzi
Ras Adiba Radzi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Dewan Negara (Wakil OKU) Senator Datuk Ras Adiba Radzi memohon Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melakukan pindaan Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008 dengan memasukkan golongan albinism (albino) sebagai satu kategori OKU.

Beliau berkata, langkah seperti dilaksanakan di Afrika Selatan itu dapat menyediakan standard sejagat bagi perlindungan dan promosi hak untuk individu yang mempunyai albinisme serta memastikan kesejahteraan psiko-emosi dan kebajikan golongan berkenaan diutamakan.

Ras Adiba juga mencadangkan KPWKM bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menyediakan pangkalan data dan pelaporan wajib bagi golongan albinisme di negara ini.

"Ini bertujuan kebajikan dan kesejahteraan mereka akan lebih terbela dengan perancangan dan pelaksanaan dasar yang terperinci di samping dasar khusus buat komuniti albinism harus disegerakan oleh pihak kerajaan," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Albinisme adalah keadaan jarang berlaku, tidak menular, diwarisi secara genetik yang berlaku di seluruh dunia tanpa mengira agama atau jantina.

Ia berlaku atas kekurangan pigmen melanin pada rambut, kulit dan mata (albinisme oculocutaneous) yang membawa kerentanan terhadap sinaran matahari sehingga menyebabkan barah kulit dan gangguan penglihatan teruk, yang turut berkait dengan kepekaan fotosensitif.

Ras Adiba berkata, individu dengan albinism adalah antara golongan rentan yang sering dilupakan oleh semua pihak.

"Setelah beberapa abad mengabaikan nasib hidup golongan ini, mereka terpaksa meneruskan kehidupan di dunia yang penuh dengan diskriminasi, stereotaip dan stigma.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga kita lupa bahawa 13 Jun setiap tahun merupakan Hari Kesedaran Albinism Antarabangsa yang sepatutnya disambut serta dianjurkan pelbagai kempen kesedaran kepada masyarakat di negara ini," katanya.

Ras Adiba juga menyeru masyarakat menerima secara terbuka kehadiran anak-anak albino.

Ini adalah untuk memastikan agar mereka yang menghidapi albino tidak tersisih serta boleh meneruskan kehidupan harian seperti yang lain, katanya. - Bernama