Usaha derma darah perlu konsisten

Selasawati (kiri) bergambar bersama Meor (dua,kanan) selepas meninjau program derma darah yang dianjurkan KKAK di sini.
Selasawati (kiri) bergambar bersama Meor (dua,kanan) selepas meninjau program derma darah yang dianjurkan KKAK di sini.
A
A
A

KOTA BHARU – Usaha pelbagai pihak untuk menderma darah perlu dilakukan dari semasa ke semasa memandangkan darah yang diderma juga mempunyai tarikh luput penggunaannya.

Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata, kebiasaannya darah yang didermakan hanya boleh digunakan untuk jangka masa sebulan setengah berdasarkan keperluan.

“Tabung darah sekarang ini berada dalam tahap bertahan iaitu untuk penggunaan dalam tempoh seminggu. Satu beg darah hanya boleh bertahan satu bulan setengah sahaja.

"Oleh sebab itu kita mahu derma darah ini dilakukan dari semasa ke semasa supaya darah yang didermakan boleh digunakan sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Beliau hadir meninjau program derma darah yang dianjurkan Kelab Kebajikan Asnaf Kelantan (KKAK) di Tanjung Mas, di sini.

Turut hadir Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mumtaz Md Naw; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed dan Pengerusi KKAK, Ir. Meor Shamshir Meor Zulkifli Auni.

Mengulas lanjut, katanya, aktiviti derma darah yang dilakukan sekarang ini kebanyakannya melibatkan penderma yang sama iaitu masyarakat yang sentiasa konsisten untuk membantu pihak hospital.

Malah katanya, darah yang didermakan juga bukan hanya kegunaan HRPZ II sahaja, namun ia turut diberikan kepada hospital seluruh daerah, termasuk hospital swasta di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

“Kita perlu perbanyakkan lagi usaha ini untuk bantu pihak hospital bagi menyediakan darah untuk kes-kes tertentu terutamanya sakit kritikal dan apa yang dilakukan KKAK hari ini adalah contoh terbaik kepada masyarakat.

“Selain di hospital, derma darah biasanya kita buat di pusat beli-belah dan sebagainya. Namun ia terpulang kepada masyarakat itu sendiri. Kalau nak derma di hospital pun boleh, kami sediakan tempat seperti biasa,” katanya.

Selasawati berkata, sehingga kini, anggaran purata penggunaan darah untuk sehari ialah melibatkan 60 hingga 80 beg dan oleh sebab itulah tabung darah berkenaan perlu sentiasa ada bagi memenuhi keperluan semasa.