Sindiket bawa dadah guna kenderaan perdagangan tumpas

A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Helah menggunakan kenderaan perdagangan antaranya lori dengan muatan buah-buahan untuk membawa dadah antara taktik yang digunakan sindiket pengedaran dadah untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Bagaimanapun taktik ini berjaya dikesan apabila seramai 14 individu ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman melibatkan 10 lokasi di sekitar Selangor pada 5 Julai lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, serbuan dijalan turut berjaya membongkarkan tiga premis yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan dadah dianggarkan bernilai RM44 juta.

"Seramai 14 suspek ditahan berumur antara 20 hingga 70 tahun yang mana 13 suspek merupakan warga tempatan dan seorang suspek merupakan warga asing.

"Serbuan dijalankan turut berjaya merampas sejumlah 431 bungkusan dadah syabu, 863 slab heroin base dan 2,000 biji pil eramin 5 dengan anggaran berat keseluruhan 764.34 kilogram dianggarkan bernilai RM44 juta," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi sidang akhbar dalam talian pada Jumaat.

Katanya, modus operandi sindiket itu dipercayai menggunakan kenderaan perdagangan untuk membawa dadah.

"Siasatan dijalankan mendapati sindiket menggunakan lori buah dan beberapa lagi kenderaan barangan, dadah yang dibawa akan disembunyikan di sebalik barangan yang dibawa.

Artikel Berkaitan:

"Kemudiannya dadah dibawa ini akan diletakkan di beberapa lokasi yang mana dijadikan stor penyimpanan sebelum dipasarkan," katanya.

Menurutnya, pelbagai barangan lain selain dadah turut dirampas dalam serbuan yang dijalankan.

"Tindakan diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 melibatkan sitaan tujuh buah kenderaan, tujuh akaun bank bernilai RM35,672.61, wang tunai berjumlah RM61,209.60, AS$100, Baht Thai 2,000 dan S$50.

"Selain itu, pelbagai barangan lain turut dirampas melibatkan seutas jam tangan dan pelbagai jenis barangan kemas, nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM44.48 juta," katanya.

Jelasnya, kesemua suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Ujian saringan dijalankan mendapati kesemua suspek negatif dadah.

"Enam suspek didapati mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau melibatkan pelbagai kes," katanya.