‘Tidak perlu minta orang tolak lagi’

Normelisa (duduk) menerima kerusi roda elektrik sumbangan Pejabat Wakaf dan Infaq UniSZA bagi memudahkan pergerakannya ketika menjalani latihan industri.
Normelisa (duduk) menerima kerusi roda elektrik sumbangan Pejabat Wakaf dan Infaq UniSZA bagi memudahkan pergerakannya ketika menjalani latihan industri.
A
A
A

KUALA NERUS – [DIKEMAS KINI] “Alhamdulillah, saya tak perlukan bantuan orang lain lagi untuk bergerak jauh selepas ini,” kata penerima bantuan kerusi roda elektrik sumbangan Pejabat Wakaf dan Infaq Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Normelisa Mohd Yadi, 23 merupakan pelajar orang kelainan upaya (OKU) yang mengalami masalah lemah anggota kaki dan tangan kiri atau dikenali sebagai Spastic Hemiplegia menerima bantuan terbabit yang disampaikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UniSZA, Profesor Dr. Mohd Afandi Salleh bagi memudahkan pergerakannya.

Dia yang kini sedang menjalani latihan industri berkata, sebelum ini dia menggunakan kerusi roda biasa yang memerlukan bantuan orang lain menolaknya sekiranya mahu ke mana-mana termasuk ketika mengikuti kuliah di kampus.

“Sebelum ini saya tidak mengalami masalah kerana UniSZA telah menyediakan pembantu mahasiswa (rakan siswa) untuk membantu memudahkan pergerakan menghadiri kuliah serta menjalani kehidupan di kampus.

“Tapi untuk latihan industri ini, saya akan berseorangan tanpa rakan siswa, jadi dengan adanya bantuan kerusi roda elektrik ini ia memudahkan lagi pergerakan saya secara sendirian,” katanya.

Pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab (Dengan Kepujian) di Fakulti Bahasa & Komunikasi (FBK) itu sedang menjalani latihan industri di Arabic Language and Consultancy, Kota Bharu, Kelantan sejak 3 Julai lalu.

Normelisa yang ditemani bapanya, Mohd Yadi Taib ketika hadir menerima sumbangan itu pada Khamis meluahkan rasa gembira dan terima kasih kepada UniSZA kerana sentiasa mengambil berat kebajikan pelajar OKU di universiti itu.

Gadis kelahiran Kampung Losong itu mengalami masalah lemah anggota kaki dan tangan kiri ketika berusia 11 tahun dan sejak dari itu penyakitnya semakin serius sehingga terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, kekurangan itu tidak membuatkan dia rasa putus asa sebaliknya menjadi pendorong buatnya untuk belajar lebih gigih dan akhirnya berjaya menyambung pelajaran ke menara gading.

“Saya bercita-cita mahu jadi seorang pensyarah, jadi besar harapan saya untuk sambung belajar ke peringkat sarjana dan doktor falsafah jika ada rezeki,” katanya.