'Jangan tunggu polis ambil tindakan'

Mohamad Noor
Mohamad Noor
A
A
A

KUANTAN - "Jangan tunggu polis ambil tindakan," itu amaran Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali kepada peniaga di Pasar Besar Kuantan dan pembantu mereka untuk hadir menjalani ujian calitan Covid-19 di Terminal Sentral Kuantan (TSK) pada Jumaat.

Seramai 261 peniaga di Pasar Besar Kuantan sebelum ini diminta hadir menjalani ujian itu susulan Kluster Pasar Kemunting yang merekodkan hampir 800 kes positif.

Menurut Noor Yusof, polis mempunyai senarai nama dan alamat individu yang masih gagal berbuat demikian.

"Pada malam Khamis kita telah menggerakkan Ops Kesan ke rumah yang dikenal pasti untuk meminta mereka menjalani saringan di TSK mulai hari ini (Jumaat).

"Apabila selesai ujian calitan Covid-19, mereka perlu berada di rumah untuk menjalani kuarantin dalam tempoh yang diberikan,” katanya pada Jumaat.

Tambah beliau, jika ada individu yang gagal melakukan ujian calitan seperti arahan Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) tindakan undang-undang boleh dikenakan kepada mereka.

"Mereka boleh dikenakan tindakan di bawah seksyen 11 Subseksyen 5 Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 iaitu kompaun sehingga RM5,000.

"Jadi, setiap individu perlu memainkan peranan masing dan tidak perlu menunggu polis mengambil tindakan datang ke rumah mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai Ops Kesan, Mohamad Noor berkata, ia dilaksanakan bukan untuk membuat tangkapan tetapi menyampaikan peringatan supaya individu berkenaan terus hadir ke tempat saringan berkenaan.