Buruh sawit minta bantuan makanan

Mohd Adli
Mohd Adli
A
A
A

HULU TERENGGANU - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu yang menerima mesej seorang buruh memaklumkan memerlukan bantuan terus bertindak maklumat kepada pejabat Ahli Parlimen Hulu Terengganu untuk mendapatkan sumbangan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, maklumat itu diterima polis ketika mengemaskini butiran aplikasi WhatsApp Op Bantu yang disiarkan melalui Facebook IPD Hulu Terengganu pada Khamis.

Menurutnya, buruh sawit berkenaan memerlukan bantuan akibat terkesan pandemik Covid-19.

"Maklumat disalurkan kepada pejabat Ahli Parlimen Hulu Terengganu sekitar jam 9.35 malam dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Hulu Terengganu serta beberapa petugas tiba di rumah pemohon untuk menyampaikan bakul makanan serta bantuan yang diperlukan pada jam 10.30 malam," katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, penerima bantuan terbabit yang tinggal di kawasan Ajil, di sini bekerja mengambil upah di ladang kelapa sawit.

Beliau berkata, lelaki terbabit sebelum itu telah melayari Facebook PDRM Hulu Terengganu dan melihat maklumat mengenai Op Bantu dan segera menghubungi pihak polis menerusi talian yang disediakan.

"Pemohon tinggal di rumah sewa dengan bayaran bulanan sebanyak RM187 bersama isteri dan dua anak perempuan yang masih bersekolah rendah serta seorang anak lelaki berusia enam bulan.

"Sejak Covid-19 melanda pendapatan pemohon tidak menentu akibat hilang punca pendapatan menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa menghantar maklumat untuk memberitahu keperluan bantuan segera," katanya.

Artikel Berkaitan: