Arab Saudi-UAE gagal selesai konflik di balik tembok istana

Emiriah Arab Bersatu membangunkan bandar Dubai yang menyediakan kemudahan-kemudahan perniagaan kepada firma-firma asing. - Foto AFP
Emiriah Arab Bersatu membangunkan bandar Dubai yang menyediakan kemudahan-kemudahan perniagaan kepada firma-firma asing. - Foto AFP
A
A
A

PERBALAHAN antara Arab Saudi dengan jirannya iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE) secara terbuka telah menunjukkan kuasa-kuasa besar di rantau Teluk yang menjadi anggota-anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCG) mempunyai padangan tersendiri dalam isu-isu yang melibatkan masa depan survival negara masing-masing.

Pada kebiasaannya, sebelum ini perbalahan antara negara-negara beraja di Teluk berjaya diselesaikan di balik tembok istana tetapi kini ia berlaku secara terbuka dalam isu kuota pengeluaran minyak mentah.

Baru-baru ini UAE bertindak menentang keras cadangan daripada pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC) dan sekutu-sekutunya yang juga terdiri daripada negara-negara pengeluar minyak tentang isu had kuota pengeluaran minyak.

Negara beraja itu menganggap cadangan tersebut sebagai tidak adil dan boleh menjejaskan usaha-usaha bagi menangani kenaikan harga minyak selepas era pemulihan ekonomi berlaku disebabkan pandemik Covid-19.

Cadangan yang ditentang oleh UAE itu adalah mengenai isu lanjutan had kuota pengeluaran minyak yang sedang dilaksanakan kini yang mahu diteruskan lagi oleh Arab Saudi sehingga ke tahun hadapan.

UAE pernah menyatakan bahawa OPEC yang disertai oleh 23 buah negara sepatutnya meningkatkan pengeluaran minyak kepada 400,000 tong sehari pada setiap bulan.

Namun, terdapat cadangan untuk melanjutkannya had kuota yang dilaksanakan sekarang sehingga penghujung tahun depan yang tidak sepatutnya diambil perhatian oleh negara-negara OPEC.

Sebelum ini, UAE bersetuju dengan cadangan untuk menaikkan had pengeluaran tersebut yang bermula pada awal tahun 2020 dan sepatutnya berakhir pada April tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Namun, cadangan tersebut mahu dilanjutkan lagi oleh Arab Saudi sehingga akhir tahun depan.

Perbalahan itu juga berlaku ketika Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman dan Putera Mahkota UAE, Putera Mohammed bin Zayed menjadi orang nombor dua dalam pentadbiran negara masing-masing.

Putera Mahkota Arab Saudi itu kini berumur 35 tahun dan dikenali dengan panggilan MBS manakala Putera Mahkota UAE pula berusia 60 tahun tetapi turut dikenali melalui nama singkatan MBZ.

Bagaimanapun, kedua-duanya kurang muncul bersama menyebabkan timbulnya persoalan tentang dakwaan bahawa hubungan mereka adalah dingin.

Gambar fail menunjukkan sebuah loji minyak milik sebuah syarikat kerajaan itu yang terdapat di Arab Saudi. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan sebuah loji minyak milik sebuah syarikat kerajaan itu yang terdapat di Arab Saudi. - Foto AFP

Hubungan tidak mesra antara kedua-dua negara itu dikesan berlaku semasa pertengahan tahun 2019 apabila UAE tidak mahu meneruskan peperangan di Yemen dengan menarik diri dari tentera perikatan diketuai Arab Saudi bagi menyokong kerajaan yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tindakan itu telah menyebabkan Riyadh meneruskan sokongan terhadap kerajaan yang diiktiraf PBB bagi menentang kumpulan Houthi yang didakwa mendapat bantuan daripada Iran dalam perang saudara di Yemen.

UAE juga bertindak menjalin hubungan dengan negara haram Israel pada tahun lalu dan ia diikuti pula oleh negara-negara seperti Bahrain, Maghribi dan Sudan sekali gus menimbulkan kemarahan dalam kalangan penduduk Palestin.

Namun, Arab Saudi tidak mengikut tindakan tersebut walaupun Amerika Syarikat (AS) mengharapkan Riyadh menjalin hubungan diplomatik dengan negara haram Israel itu.

Dalam pada itu, Riyadh juga bertindak memulihkan semula hubungan dengan Qatar.

Qatar sebelum ini diboikot lebih tiga tahun oleh Arab Saudi kerana didakwa menyokong kumpulan-kumpulan Islamis yang ganas dan terlalu rapat dengan musuh Riyadh tetapi UAE mempunyai dasar tolak ansur sifar terhadap politik Islam.

Pada Februari lalu, Arab Saudi menetapkan bahawa firma-firma asing perlu mempunyai ibu pejabat masing-masing untuk rantau Asia Barat di negara beraja tersebut menjelang tahun 2024 jika mahu melakukan urusan perniagaan dengan kerajaan.

Jika tidak berbuat demikian, firma-firma tersebut tidak boleh menjalankan urusan perniagaan dengan kerajaan Arab Saudi.

Sehingga kini, UAE mempunyai hab-hab perkhidmatan perniagaan bagimemudahkan urusan perniagaan dilakukan seperti di Dubai dan Abu Dhabi manakala Arab Saudi pula baharu membuka langkah bagi membangunkan sektor-sektor bukan berasaskan minyak seperti industri pelancongan dan teknologi dalam mempelbagaikan kegiatan ekonominya.

Justeru, bekas seorang pegawai Rumah Putih di AS yang bertanggungjawab tentang dasar-dasar Arab Saudi, Kirsten Fontenrose turut mengulas tentang situasi yang berlaku antara kedua-dua negara tersebut.

Katanya, kedua-dua negara cuba mencari peluang yang boleh menjamin masa depan ekonomi mereka. - Agensi