Semak kes elak cukai pendapatan

Gambar kecil: Che Ibrahim
Gambar kecil: Che Ibrahim
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan khususnya Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu meneliti kemungkinan berlaku tindakan mengelak cukai pendapatan dalam kalangan mereka yang mengaut hasil besar daripada penerokaan tanah secara haram.

Ketua Biro Tanah Simpanan Melayu, Majlis Perundingan Melayu (MPM), Che Ibrahim Che Idris berkata, langkah itu juga bagi memastikan tidak berlaku kerugian kepada hasil negara.

Menurut beliau, LHDN wajar mencari kaedah untuk menuntut kembali cukai pendapatan yang dielakkan sekiranya ia berlaku.

Katanya, menjalankan aktiviti haram termasuk mengusahakan kebun durian dalam tanah kerajaan atau hutan simpan tidak bermakna pendapatan yang diperoleh terlepas daripada cukai.

“Tanggungjawab bagi setiap individu yang mempunyai pendapatan adalah mendeklarasi pendapatan yang diterima dan membayar cukai pendapatan sekiranya mencapai kadar ditetapkan apatah lagi bagi mereka yang telah mengaut keuntungan berjuta-juta sejak sekian lama.

“Ia mesti dituntut dan jika tidak berbuat demikian adalah tidak adil kepada kepada pembayar cukai yang lain,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Che Ibrahim berkata, mungkin pihak LHDN boleh memberi kelonggaran dalam proses tuntutan dengan menawarkan jumlah yang dipersetujui kedua-dua pihak lebih-lebih jika melibatkan kumpulan yang ramai.

“Perlu ada kesederhanaan dalam proses ini kerana ia mungkin berlaku dalam tempoh yang agak lama dan sukar untuk menentukan kadar sebenarnya.

Artikel Berkaitan:

“Mustahil untuk pihak LHDN untuk turun padang membilang jumlah pokok dan mengenal pasti hasilnya setiap tahun, justeru satu kadar yang munasabah boleh ditetapkan dalam proses tuntutan itu,” katanya.

Che Ibrahim berkata, paling penting tindakan sewajarnya perlu diambil dalam menuntut hak kerajaan kerana hasil daripada cukai tersebut boleh digunakan untuk manfaat rakyat.

“Saya kira LHDN ada kepakaran dalam mengesan mereka yang cuba elak cukai pendapatan terutama pekebun haram ini kerana ladang yang diusahakan luas serta memberikan pulangan yang lumayan,” katanya.

Menurut beliau, semua pihak perlu melihat ke depan dalam penyelesaian tuntutan cukai itu supaya dapat diselesaikan segera.

“Namun dalam soal hak milik tanah ia tidak boleh dikompromi. Tanah yang diceroboh perlu dirampas dan kembalikan kepada tujuan asalnya. Jika ia rizab hutan, perlu kembalikan dan kekalkan status itu.

“Jangan sesekali akur dengan desakan mana-mana pihak sehingga tanah tersebut ‘diputihkan’ dan diserahkan kepada penceroboh,” ujar beliau.

Kata Che Ibrahim, tindakan tersebut perlu berlandaskan keadilan dan tidak melibatkan isu perkauman.