Tiga 'adiwira' Pulau Pinang agih makanan percuma

'Adiwira Pulau Pinang' sibuk mengedarkan bungkusan sarapan percuma kepada anggota polis di Jalan Larut, pada Khamis. - Foto Bernama
'Adiwira Pulau Pinang' sibuk mengedarkan bungkusan sarapan percuma kepada anggota polis di Jalan Larut, pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - Melihat tiga susuk tubuh perkasa di sebalik kostum 'Predator' dan 'Black Panther sambil melambai-lambaikan tangan membuatkan orang ramai yang lalu-lalang di hadapan Hotel Royal Penang di sini, tergamam.

Namun, apabila didekati nyata kumpulan digelar ‘Adiwira Pulau Pinang’ yang dianggotai Mohd Nor Hisham Awang Nong, 48, Mohd Wan Hafizi Wan Zakaria, 40, dan Azhar A. Rahman, 64, itu berniat murni untuk mengagihkan bungkusan makanan secara percuma.

Seorang pengguna jalan raya, Mohd Ali Mohd Sharif, 55, pada awalnya menyangka ada festival jalanan, tetapi setelah memberhentikan motosikal yang dinaiki bersama anak lelakinya Mohd Rais Mohd Ali, 23, tekaannya nyata meleset.

"Setelah disuruh berhenti, rupanya ada adiwira nak bagi makanan pagi secara percuma.Terima kasih sebab ambil inisiatif untuk bantu orang awam yang terkesan ketika pandemik Covid-19," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Khamis.

'Predetor' dan 'Black Panther' mengedarkan bungkusan sarapan percuma kepada orang awam yang melalui Jalan Larut, pada Khamis. - Foto Bernama
'Predetor' dan 'Black Panther' mengedarkan bungkusan sarapan percuma kepada orang awam yang melalui Jalan Larut, pada Khamis. - Foto Bernama

Muzlifa Alias, 31, pula berkata, inisiatif seumpama itu patut diteruskan kerana ramai golongan yang begitu terkesan dengan situasi pandemik sekarang.

"Inisiatif ini patut diteruskan sebab ramai lagi yang tak cukup makan. Dengan pemberian makanan percuma sekurang-kuranganya pagi ini perut mereka terisi," katanya yang dalam perjalanan ke tempat kerja di Jalan Anson, di sini.

Bagi menjayakan inisiatif berkenaan, kumpulan Adiwira Pulau Pinang itu telah bekerjasama dengan pihak pengurusan Hotel Royal Penang diketuai Pengurus Besarnya Amran Taib untuk menyediakan 400 bungkus nasi lemak, 150 bihun dan 200 bungkus air teh dan kopi untuk diagihkan kepada orang awam secara percuma.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Amran berkata, pihaknya merayu kepada kerajaan negeri supaya mempercepatkan proses vaksinasi petugas perhotelan yang berdaftar di bawah Persatuan Hotel Malaysia Pulau Pinang.

"Setakat ini, kira-kira 4,000 orang pekerja perhotelan di bawah persatuan ini belum menerima vaksin. Jadi, langkah segera perlu dilakukan oleh kerajaan negeri termasuk Kementerian Kesihatan untuk menimbangkan keutamaan pemberian vaksin kepada pekerja hotel kerana tugas kami berdepan dengan orang ramai dan tidak mahu mendatangkan risiko kepada pelanggan," katanya. -Bernama