X

Kindly register in order to view this article
!

UAE tidak bantu kikis Islamofobia

Filem The Misfits
A
A

KETIKA umat Islam di Barat berdepan diskriminasi dan penghinaan agama, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula dengan senang hati membiayai filem Hollywood yang meningkatkan lagi sentimen Islamofobia.

The Misfits dibintangi aktor siri James Bond, Pierce Brosnan dianggap tidak masuk akal kerana menggambarkan negara jiran Qatar sebagai sebuah negara pengganas.

Dalam filem itu juga, pengarah Renny Harlin (A Nightmare on Elm Street 4, Die Hard 2, Cliffhanger dan Deep Blue Sea), merujuk Qatar sebagai 'Jazeeristan’ dan menggambarkan rakyatnya menyokong organisasi pengganas, manakala tentera upahan dari UAE pula diangkat sebagai penyelamat.

Malah, lebih menjengkelkan, filem tersebut melabel ulama tersohor Mesir, Sheikh Yusuf Al-Qaradawi yang berpangkalan di Doha sebagai pemimpin Ikhwanul Muslimin (diharamkan pada 23 September 2013 oleh sebuah mahkamah di Mesir) dan menaja keganasan global.

Filem The Misfits mengisahkan Richard Pace yang dilakonkan Brosnan mengetuai sekumpulan perompak mencuri jongkong emas bernilai jutaan dolar dari 'Jazeeristan’.

Dalam filem tersebut, 'Jazeeristan’ membayar pengganas menggunakan jongkong emas.

Dalam satu adegan, watak pelayan bar atau restoran diberi nama Muhammad dan negara-negara di Timur Tengah dianggap wilayah kekerasan dan kesengsaraan yang berpanjangan.

'Jazeeristan’ merujuk kepada stesen penyiaran antarabangsa, Al Jazeera yang cuba disekat UAE dan Arab Saudi. Filem The Misfits mula ditayangkan pada 3 Jun lalu.

Usaha mencemarkan imej dan reputasi Qatar itu berlaku hanya beberapa bulan selepas Doha memulihkan hubungan dengan negara-negara jirannya termasuk Arab Saudi.

Tiga tahun lalu, pakatan diketuai Arab Saudi, UAE, Bahrain, Mesir dan Yemen mengenakan sekatan serta memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar setelah Riyadh mendakwa Doha terlalu rapat dengan Iran yang merupakan musuh kuat kepada Amerika Syarikat (AS) dan menyokong kumpulan radikal Islam.

Qatar turut dituduh menyebarkan ideologi ganas – merujuk kepada stesen Al Jazeera. Namun, semua dakwaan itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh Qatar.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!