Kereta terbang kembali jadi bualan

Hyundai menunjukkan kereta terbangnya dalam satu pameran.
Hyundai menunjukkan kereta terbangnya dalam satu pameran.
A
A
A

BUAL bicara tentang kereta terbang kembali bergema. Idea yang pernah dicemuh tatkala Malaysia berangan-angan mahu membina kereta terbang kini jadi perbualan hangat dalam kalangan pegawai Hyundai Eropah.

Ketua Pegawai Eksekutif Hyundai Motor Europe GmbH (Hyundai Eropah), Michael Cole minggu lalu membayangkan kereta terbang akan jadi kenyataan pada 2030. Setakat ini, syarikat itu telah mempamerkan konsep kereta terbangnya, dibangunkan bersama firma perkongsian perjalanan Uber di Pameran Elektronik Pengguna di Las Vegas pada Januari 2020.

Hyundai juga terlibat dalam lapangan terbang pertama di Britain tanpa landasan, direka khusus untuk pesawat berlepas dan mendarat menegak elektrik (eVTOL), dijadualkan dibuka di Coventry akhir tahun ini.

Di Malaysia, rasanya idea kereta terbang sudah terbantut. Penulis tidak pasti apa jadi kepada Vector. Pada Oktober 2018, Malaysia mengumumkan Vector akan membuat penerbangan sulungnya seawal Oktober 2020. Vector juga telah dipamerkan kepada masyarakat dunia buat pertama kali pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019.

Begitu pun, penulis bangga kerana idea asal kereta terbang ada kaitan dengan sumbangan Abbas Qasim Ibn Firnas (810-888), pakar fizik, kimia dan astronomi, zaman pemerintahan Khalifah Umayyah di Andalusia (Sepanyol). Pada 875, Ibnu Firnas mencipta pelayang daripada struktur besi dan kayu bersalut kain sutera. Beliau membuat penerbangan pertama daripada sebuah menara masjid di Cordova.

Penerbangan keduanya dari atas bukit di kawasan sama umpama seekor burung. Idea reka bentuk alat penerbangan Ibn Firnas telah diabadikan dalam bukunya bertajuk Abbas Bin Firnas and the Origin of Flight. Penulis positif dengan idea kereta terbang. Penulis mendapati Hyundai Eropah memiliki pusat pembangunan dan penyelidikan di Frankfurt serta tiga kilang pembuatan di Nosovice Republik Czechoslovakia di Saint Petersburg, Rusia dan di Turki.

Laporan terkini menyebut pembuat kereta terbesar di Korea Selatan itu telah membuat pelaburan besar dalam industri mobiliti udara bandar. Hyundai berjaya melaksanakan pengujian teksi terbang dikuasakan oleh bateri elektrik dan boleh mengangkut sehingga enam penumpang dari pusat bandar yang sangat sesak ke lapangan terbang Seoul. Cole percaya kereta terbang akan mengurangkan kesesakan di bandar dan pelepasan karbon. Akhirnya, kesesakan lalu-lintas di bandar utama dunia diatasi sepenuhnya.

Sebenarnya idea kereta terbang disebut dalam surah Az-Zukhruf [43:10-14]. Sebagai seorang berpengalaman menyediakan beratus kertas kerja kajian kemungkinan (feasibility study) untuk projek inovatif dan berteknologi tinggi bermula Rancangan Malaysia Keenam (RMK6), penulis menyarankan kerajaan Malaysia segera membentuk ahli jawatankuasa kerja meliputi penyelidik dan perunding teknikal tempatan dalam pelbagai bidang bagi menyediakan kertas kerja kajian kemungkinan pelaksanaan kereta terbang.

Artikel Berkaitan:

Antara kandungan penting perlu dipertimbangkan adalah bentuk muka bumi dan ruang udara sehingga 10,000 kaki di atas setiap pelosok pekan, bandar, kampung, hutan, tasik, bukit-bukau dan gunung-ganang untuk dijadikan stesen penerbangan.

Ia juga harus memasukkan kajian komprehensif sistem kejuruteraan, bahagian komponen, alat ganti, sistem prasarana sokongan, sistem medan kuasa, sistem kuasa pemanduan, sistem penerbangan dan pendaratan, sistem brek, sistem pengujian, sistem penyelenggaraan dan perkhidmatan, khidmat penyelenggaraan pencegahan serta sistem keselamatan.

Komponen lain seperti pengurusan risiko, kajian pasaran, penganalisaan kompetitif, proses pengeluaran dan pengoperasian, perancangan kewangan dan perancangan perlaksanaan berfasa serta keseluruhan juga perlu dipertimbangkan.

Penulis amat mengharapkan idea kereta terbang diteruskan di Malaysia. Penglibatan dalam pembikinan kereta terbang akan menaikkan imej Malaysia dalam industri teknologi tinggi.

Penulis juga percaya Malaysia akhirnya akan meraih hasil kerana mampu melahirkan pakar pemodelan dan penganalisisan matematik, penerbangan, kejuruteraan aeronautik, sistem terbang dan pemanduan, kawalan lalu lintas udara, kejuruteraan elektrik dan elektronik, kejuruteraan automotif, kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan bahan, kejuruteraan mekatronik serta sistem pemulihan.

* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteran Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor