Politikus perlu kibar bendera putih

No Image Caption
A
A
A

KEYAKINAN pelabur luar terhadap ekonomi Malaysia pada ketika ini amat lemah. Pasaran saham yang menjadi petunjuk kedudukan ekonomi menunjukkan fakta jelas kedudukan kita.

Berdasarkan laporan MIDF Research, Bursa Malaysia FBM KLCI merosot -4.2 peratus kepada 1,559.68 setakat Jun 2021.

MIDF menjangkakan FBM KLCI masih berprestasi lebih lemah berbanding indeks-indeks pasaran setara dengannya.

Tidak perlu membandingkan indeks Malaysia dengan US Dow Jones, Nasdaq, Euro Stoxx ataupun France CAC kerana amat jauh ketinggalan.

Cukup sekadar bandingan dengan negara sekeliling seperti JKSE (Indonesia), SET (Thailand), STI (Singapura) dan VNINDEX (Vietnam) dan jelas kedudukan kita tercorot.

Pelabur asing pula telah melupuskan RM3.8 bilion bersih ekuiti tempatan dari awal tahun sehingga akhir Jun 2021.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim dilaporkan berkata, ekuiti tempatan yang dilupuskan pelabur asing dua minggu lalu berjumlah sehingga RM469.5 juta bersih berbanding RM75.7 juta bersih yang dibeli pada minggu sebelumnya.

Tambah mengusutkan keadaan, kes positif Covid-19 terus mencanak naik dengan kes terakhir dicatatkan pada Rabu adalah sebanyak 7,097 kes, 91 kematian dan 948 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Artikel Berkaitan:

Paling merisaukan apabila Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberi amaran sistem kesihatan di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Labuan akan lumpuh sekiranya tiada tanda pengurangan kes harian baharu positif Covid-19.

Katanya, kes di negeri dan wilayah itu terus meningkat secara purata 2.6 peratus selama tujuh hari kebelakangan ini.

Menurut beliau, empat negeri dan wilayah itu menunjukkan peningkatan kes harian baharu melebihi kapasiti maksimum hospital iaitu bawah 38 kes baharu harian bagi setiap 100,000 penduduk.

Katanya, jika ia berterusan, sistem kesihatan akan lumpuh dan seterusnya situasi sama akan berlaku di seluruh negara.

Sebelum kenyataan rasmi Dr Noor Hisham itu pun kita sudah dapat lihat tahap sistem kesihatan kita yang serius apabila ada pesakit di ICU yang terpaksa menerima rawatan di lantai.

Tular

Video-video tular pesakit positif Covid-19 beratur panjang untuk mendaftar masuk di pusat kuarantin juga menambah kebimbangan kita.

Petugas-petugas kesihatan pula sudah keletihan apabila bertarung di lapangan dalam tempoh yang panjang. Tidak tahu sampai bila mereka mampu bertahan dengan keadaan tersebut.

Rakyat pula makin tertekan apabila melalui tempoh ‘pengurungan’ yang lama sejak Covid-19 melanda Malaysia.

Paling menyedihkan ada kalangan rakyat yang mengalami kesusahan seperti kehilangan insan tersayang akibat Covid-19, hilang sumber pendapatan, masalah tekanan mental dan macam-macam lagi dugaan.

Namun, apa yang dialami Malaysia dari sudut ekonomi, pandemik dan kesusahan rakyat tidak pernah menjadi satu peringatan penting buat pemimpin politik di Malaysia agar bermuhasabah.

Mereka berterusan siang dan malam saling bercakaran antara satu sama lain untuk kepentingan politik masing-masing.

Sekejap tarik sokongan, sekejap sokong kerajaan. Tiba-tiba ada pengumuman pelantikan Timbalan Perdana Menteri baharu.

Macam-macam ketidaktentuan berlaku dalam tempoh singkat menyebabkan rakyat makin pening dengan situasi yang berlaku dalam negara.

Apa salahnya dalam keadaan getir seperti ini mereka semua membuat genjatan senjata, mengangkat bendera putih dan saling berdamai.

Duduk semeja, ketepikan kepentingan politik masing-masing dan berunding mencari jalan untuk mengeluarkan Malaysia daripada kemelut getir ini.

Ini bukan masanya untuk berebut jawatan dan menunjukkan siapa lebih baik untuk memerintah.

Sepatutnya gabungkan semua idea dan kepakaran untuk membantu rakyat Malaysia mengharungi keadaan yang belum pernah dialami sebelum ini.

* Badruldin Zakaria ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian