Lelaki meninggal dunia dalam kereta

Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dalam kereta berhadapan sebuah pasar raya di Sungai Petani pada Khamis.
Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dalam kereta berhadapan sebuah pasar raya di Sungai Petani pada Khamis.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di dalam kereta di hadapan sebuah pasar raya di Kampung Baru di sini kira-kira jam 5.25 petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, seorang anggota Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda menerima panggilan dari MERS 999 memaklumkan terdapat seorang lelaki berada dalam kereta dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Menurutnya, siasatan awal di tempat kejadian menemui mangsa dalam kedudukan tersandar di kerusi hadapan bahagian pemandu kenderaan jenis Toyota Avanza yang berhenti di bawah jejantas, dengan enjin kenderaan telah mati dan tingkap dalam keadaan tertutup.

"Temu bual bersama saksi iaitu abang mangsa memberitahu adiknya berusia 45 tahun berstatus bujang merupakan orang kurang upaya mental dan bersara awal sebagai guru di sebuah sekolah di sini akibat masalah mental yang dialami," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Adzli berkata, menurut abang mangsa, adiknya menetap di Taman Ria merupakan pesakit di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani dan kali terakhir mereka bertemu ialah pada bulan lalu.

"Pusat Kesihatan Daerah telah membuat sanitasi di tempat kejadian. Mayat dibawa ke HSAH untuk tindakan lanjut.

"Saringan Covid-19 diadakan sebelum proses bedah siasat dijalankan," katanya.

Bagaimanapun, jelasnya, siasatan di tempat kejadian tidak menjumpai sebarang unsur jenayah.

Artikel Berkaitan:

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut namun sebab kematian akan ditentukan daripada keputusan bedah siasat.