Vaksin lindungi daripada gejala serius Covid-19

Statistik terbaharu CDC Amerika Syarikat, 99.99 peratus daripada jumlah kes yang dikaji menunjukkan individu yang divaksin dilindungi daripada kesan berbahaya Covid-19. - Foto Bernama
Statistik terbaharu CDC Amerika Syarikat, 99.99 peratus daripada jumlah kes yang dikaji menunjukkan individu yang divaksin dilindungi daripada kesan berbahaya Covid-19. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Meskipun vaksinasi tidak melindungi seseorang individu 100 peratus daripada dijangkiti Covid-19, tetapi ia dapat membantu mencegah daripada gejala serius penyakit itu.

Penyelidik, Dr Rais Hussin dan Dr Margarita Peredaryenko dari badan pemikir bebas EMIR Research berkata, berdasarkan statistik terbaharu Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), Amerika Syarikat (AS), 99.99 peratus daripada jumlah kes yang dikaji badan itu menunjukkan individu yang divaksin dilindungi daripada kesan berbahaya penyakit itu.

EMIR Research, merupakan sebuah badan pemikir bebas yang memfokuskan kepada cadangan dasar strategi berdasarkan kajian teliti.

“Menurut statistik itu, dalam tempoh mulai 1 Januari hingga 30 April 2021, bagi kira-kira 101 juta orang yang menerima vaksinasi penuh Covid-19, sebanyak 10,262 jangkitan selepas vaksinasi dilaporkan di 46 negeri di AS.

“Daripada 10,262 ini, 2,752 (27 peratus) tidak mempunyai gejala, 995 (10 peratus) dirawat di hospital dan 160 (dua peratus) meninggal dunia. Selain itu, daripada 995 yang dirawat di hospital, 289 (29 peratus) tidak menunjukkan gejala atau dirawat atas sebab yang tiada kaitan dengan Covid-19,” kata penyelidik berkenaan dalam satu kenyataan bersama di sini, pada Khamis.

Justeru, berdasarkan data tersebut, telah terbukti bahawa vaksinasi memainkan peranan yang sangat penting, bukan sahaja untuk perlindungan diri, malah untuk seluruh masyarakat yang mahu kembali ke rutin normal dalam interaksi sosioekonomi sebelum pandemik ini, menurut penyelidik itu.

Berkongsi perkembangan positif tentang program vaksinasi negara, Dr Rais dan Dr Margarita berkata, berdasarkan data yang dikumpul Our World in Data, Malaysia antara negara yang merekodkan kadar meragui vaksinasi yang sangat rendah dan kadar kepercayaan yang sangat tinggi terhadap kakitangan kesihatan (doktor dan jururawat).

“Diharapkan trend ini berterusan selari dengan usaha Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang sedang giat dijalankan,” katanya sambil menambah maklumat mengenai penyakit dan vaksin Covid-19 yang disalurkan secara bersistem kepada rakyat, mungkin dapat membantu individu yang masih teragak-agak dalam membuat keputusan untuk menerima vaksin.

Artikel Berkaitan:

Penyelidik itu juga berkata, data yang dikumpul untuk lima bulan setelah pelaksanaan program imunisasi itu akan menyumbang kepada penilaian keselamatan pelbagai jenis vaksin untuk individu tertentu, berdasarkan kondisi kronik dan penyakit sedia ada.

“Kekurangan data dan ketelusan yang mengakibatkan kebimbangan. Dengan kadar ragu-ragu vaksin yang rendah dan program imunisasi Covid-19 yang berjalan rancak mengikut masa yang ditetapkan, Malaysia akhirnya berpeluang untuk menamatkan sekatan kawalan pergerakan yang berulang dan memenatkan,” katanya. - Bernama