Pelantikan Ismail Sabri, Hishammuddin kukuhkan institusi pentadbiran

Shahidan berharap pelantikan Ismail Sabri dan Hishammuddin dapat memulihkan semula negara dalam aspek ekonomi, sosial, kesihatan dan pendidikan.
Shahidan berharap pelantikan Ismail Sabri dan Hishammuddin dapat memulihkan semula negara dalam aspek ekonomi, sosial, kesihatan dan pendidikan.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Backbenchers Perikatan Nasional (PNBBC) yakin bahawa pelantikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Kanan Luar Negeri yang mengetuai Kluster Keselamatan dapat mengukuhkan lagi institusi pentadbiran kerajaan dalam memberikan fokus menangani pandemik Covid-19.

Pengerusi PNBBC, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, pelantikan kedua-dua pemimpin itu juga diharap dapat memulihkan semula negara dalam aspek ekonomi, sosial, kesihatan dan pendidikan.

“Justeru, PNBBC meminta semua pihak memberikan kerjasama dan tumpuan yang optimum bagi membantu mengurangkan beban rakyat agar mereka boleh meneruskan kelangsungan hidup dalam tempoh masa yang kritikal dan mencabar ini.

“Selain itu, masing-masing juga perlu menggembleng tenaga bagi membantu mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Rabu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melantik Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri berkuat kuasa serta-merta dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, pelantikan tersebut dapat membantu Perdana Menteri menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan, Hishammuddin pula dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri.

ARTIKEL BERKAITAN: Ismail Sabri dilantik Timbalan Perdana Menteri, Hishammuddin Menteri Kanan

Artikel Berkaitan: